Ketua Cabang PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajah meminta anggota parti menumpukan kepada PRU15 akan datang, sebaliknya bukan saling tuduh menuduh mengenai keputusan pemilihan parti yang telah pun selesai.
“Menang atau kalah adalah perkara biasa dalam mana-mana pemilihan parti. Yang penting, terus bergerak ke depan. Bukannya, saling menuding jari antara satu sama lain.
“Pendirian parti untuk mengadakan pemilihan parti sebelum PRU, menunjukkan PKR masih stabil dan relevan. Tidak seperti beberapa parti politik lain yang menangguhkan pemilihan parti dengan alasan-alasan remeh.
“Selepas tamat pemilihan PKR, masanya kini untuk memberi tumpuan kepada PRU. Yang itu lagi penting,” katanya pada kenyataan semalam.
Sathia mengulas beberapa kenyataan oleh anggota parti yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan pemilihan parti.
Pemilihan PKR diadakan bermula 13 Mei sehingga 28 Mei ini. Keputusan tidak rasmi telah dipaparkan melalui di laman web rasmi PKR pada 30 Mei.
Anggota parti yang tidak puas hati dengan keputusan diberi peluang untuk membuat bantahan terhadap keputusan tidak rasmi.
Panel aduan di bawah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan membuat siasatan dan keputusan rasmi akan diumumkan pada kongres parti 25 Jun ini.
Sementara itu, Sathia juga berkata pihak yang membuat bantahan perlu memberi ruang kepada JPP untuk mengadakan siasatan terhadap setiap bantahan yang diterimanya.
“Saya diberitahu bahawa lebih 1,200 bantahan dibuat. Jadi, kita perlu beri masa kepada JPP. Tidak perlu bertindak secara melulu sebelum siasatan JPP selesai.
“Pada masa yang sama JPP juga perlu telus dengan setiap bantahan. Saya harap setiap keputusan bantahan diumumkan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.