Indonesia mengecam kenyataan kontroversi dua ahli politik India baru-baru ini yang didakwa telah menghina Nabi Muhammad ﷺ.
“Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad ﷺ oleh dua ahli politik India.
“Indonesia turut memanggil Duta India di Jakarta dan menyerahkan surat bantahan berhubung perkara itu,” ciap Kementerian Hal Ehwal Luar di akaun Twitter rasminya.
Indonesia bersama-sama Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain mengutuk kenyataan ahli politik parti pemerintah India baru-baru ini yang didakwa menghina Islam.
Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) pada Ahad menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial.
“BJP mengecam sekeras-kerasnya penghinaan terhadap mana-mana personaliti mana-mana agama,” menurut kenyataan parti itu. – Bernama