Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Jabatan Agaam Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun Bon Odori di Shah Alam pada 16 Julai ini, kata Mohd Shahzihan Ahmad.
Pengarah Jais itu berkata demikian setelah menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan petang ini.
“Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpana ini disimpulkan denagn tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam,” kata Shahzihan.
Shahzihan berkata, baginda berpendirian, “banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada dalam budaya”.
“Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.
“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” kata Shahzihan.
Menteri agama Idris Ahmad kelmarin menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai Festival Bon Odori atas dakwaan ia “perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka”.
Katanya kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati festival itu memang ada unsur-unsur keagamaan.
Sementara itu, baginda juga bertitah, menurut Shahzihan, supaya pegawai Jais dan Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut bagi melihat sendiri apa yang berlaku.
Katanya, tindakan itu perlu dibuat bagi bersikap adil, ditambah lagi dengan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di negeri Selangor.
“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melibat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri Selangor,” katanya.