Presiden PKR Anwar Ibrahim akan menghadiri majlis pelancaran buku di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Ahad ini.
Ketua pembangkang itu dijadual melancarkan buku kombo merdeka 65 tahun karya Sasterawan Negara, A Samad Said yang terdiri daripada novel “Salina”, “Langit Petang” dan “Hujan Pagi” di pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF).
Menurut bahan promosi untuk acara itu, Anwar diperkenalkan bukan sebagai ahli politik tetapi sebagai pengerusi emeritus Institut Antabangsa Pemikir Islam (IIIT).
Semakan dengan pejabat Anwar mendapati ini merupakan kali pertama Anwar hadir ke PWTC dalam tempoh 24 tahun.
PWTC dimiliki oleh Umno – sebuah parti yang pernah dianggotai sehingga dia dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden parti itu.
Pada 1998, Umno di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad, memecat Anwar daripada parti dan kerajaan atas pelbagai dakwaan salah laku.
Berikutan itu, Anwar menjadi antara musuh utama Umno.
Semalam, Lim Kit Siang – seorang lagi musuh politik Umno – juga berada di pentas utama KLIBF.
Lim mengambil bahagian sebagai ahli panel yang membincangkan mengenai buku Kee Thuan Chye “Lim Kit Siang: Malaysian First”.