Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyalahkan pembangkang kerana enggan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) meskipun melabelkan kerajaan pada masa ini sebagai ‘cap ayam’.
“Yang labelkan kerajaan campuran hari ini sebagai kerajaan cap ayam adalah pembangkang.
“Yang kuat mengambil kesempatan menghentam dasar kerajaan sejak kebelakangan ini pembangkang.
“Tetapi apabila disaran PRU15 agar rakyat diberi mandat memilih sebuah kerajaan baru, pembangkang marah,” tulis Ahmad Zahid di laman Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, PRU15 merupakan langkah paling demokratik untuk rakyat mendapatkan semula sebuah kerajaan yang kukuh, sekali gus memastikan usaha membantu rakyat akan lebih berkesan,
Katanya, kerajaan campuran pada masa ini hanya bersifat sementara dan merupakan kesinambungan daripada pentadbiran kerajaan apabila Pakatan Harapan tumbang dan hanya dapat bertahan selama 22 bulan.
Bagaimanapun, kata Ahmad Zahid, pembangkang memberi bermacam alasan agar PRU15 tidak diadakan dalam masa terdekat.
“Dulu pembangkang beri alasan Covid-19 oleh itu PRU15 tidak boleh diadakan, kini alasan inflasi pula.
“Alasan demi alasan pembangkang sebenarnya mendedahkan kekhuatiran sebenar mereka. Kekhuatiran untuk berdepan penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya demi mendapat kuasa.
“(Pembangkang) Mahu ‘membeli masa’ untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi dan menipu rakyat sekali lagi,” katanya.
Presiden Umno itu antara tokoh dalam Umno yang berulangkali menggesa supaya PRU15 diadakan walaupun mandat kerajaan pada masa ini hanya akan tamat pada 15 Julai tahun depan.
Pemimpin Umno yang menyokong PRU diadakan awal berpendapat waktu ini adalah masa sesuai mengadakan PRU selepas BN mendapat momentum kemenangan pada pilihan raya negeri Johor dan Melaka.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno seperti Nazri Aziz dan Annuar Musa berpandangan PRU masih belum sesuai diadakan pada masa ini.