Seorang pengundi memfailkan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan persekutuan atas dakwaan menghalangnya membuang undi pada PRN Johor lalu.
Dalam kenyataan media hari ini, badan pemantau pilihan raya Bersih mengesahkan pihaknya terlibat membantu pengundi itu semalam – yang diwakili peguam dari firma guaman AmerBon – untuk mengambil tindakan sivil.
Namun, tidak jelas di mahkamah mana tindakan itu difailkan.
Bersih berkata SPR patut dipertanggungjawabkan kerana hak mengundi didakwa telah dinafikan atas sebab berkaitan Covid-19.
“Individu itu adalah pengundi kali pertama dan mengundi di Skudai.
“Dia sudah ambil langkah berjaga-jaga yang wajar, seperti membuat ujian kendiri sebelum ke pusat mengundi tetapi dihalang kakitangan SPR walaupun keputusannya negatif,” dakwa Bersih.
Menurut Bersih, keputusan SPR itu tidak munasabah dan salah kerana plaintif ada hak untuk mengundi seperti termaktub dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pilihan Raya 1958 dan Peraturan-peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981.
“Undang-undang tidak memberi kuasa kepada SPR untuk menafikan hak pengundi untuk mengundi atas dasar penyakit berjangkit dan ketika masih dalam tempoh kuarantin.
“Undang-undang juga tidak menyatakan keperluan untuk mendapat apa-apa kebenaran daripada pegawai jabatan kesihatan daerah sebelum mereka boleh mengundi.
“SPR secara salah mengalihkan kuasanya kepada pegawai jabatan kesihatan daerah dalam soal undi,” dakwa Bersih lagi.
Bersih juga menegaskan SPR sebagai satu-satunya badan yang menguruskan pilihan raya perlu memastikan pilihan raya boleh disertai semua warga yang berdaftar sebagai pengundi.