Malaysia boleh menyelamatkan sehingga 22,000 nyawa dan menjimatkan RM212 bilion setahun jika tahap kualiti udara dipertingkatkan, menurut satu kajian mengenai kesihatan dan kesan ekonomi akibat pencemaran udara.
Kajian oleh Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) dan Greenpeace Malaysia yang berpangkalan di Finland mendapati hal itu boleh dicapai dengan mengurangkan penyakit berkaitan pencemaran udara ambien, dan menjimatkan dana awam bagi penjagaan kesihatan.
Menurut kajian itu, pada masa ini standard kualiti udara Malaysia setakat 2020, tidak memenuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021, malah tidak memenuhi garis panduan yang dikeluarkan pada 2005.
Akibatnya, dianggarkan 32,000 kematian yang boleh dielakkan berlaku setiap tahun akibat pencemaran udara.
Kajian itu selanjutnya menganggarkan kos ekonomi pencemaran udara ambien pada 2019 ialah RM303 bilion, atau 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Dengan memenuhi Garis Panduan WHO 2021 yang baru dan perlindungan bagi bahan zarahan halus (PM2.5) dan nitrogen oksida (NOx) akan menyelamatkan 22,000 nyawa setahun,” kata penganalisis CREA Asia Tenggara, Isabella Suarez dalam satu kenyataan semalam.
“Impak lain seperti cuti sakit yang diambil akibat penyakit berkaitan pencemaran udara, berat bayi baru lahir yang rendah dan kelahiran pramatang, dan tahun jangka hayat dengan ketidakupayaan akan dikurangkan sebanyak lebih 75 peratus.
“Dengan garis panduan WHO 2021, kos ekonomi untuk rakyat Malaysia akan dikurangkan sebanyak satu pertiga setiap tahun, menjimatkan RM 212 bilion dalam kos berkaitan pencemaran udara setahun,” tambahnya.