Barangkali Presiden PAS Abdul Hadi Awang menentang pelaksanaan PRU lebih awal kerana takut partinya akan hilang banyak kerusi, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa pihak yang bertegas mahu menyegerakan PRU adalah kumpulan yang kemaruk kepada kuasa.
“Mungkin kalau pilihan raya (diadakan) cepat, dia khuatir partinya akan hilang kurang daripada 18 kerusi Parlimen sedia ada,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Dalam kenyataannya semalam, Abdul Hadi berkata pada masa ini ada isu lain yang lebih memerlukan perhatian termasuk ancaman Covid-19 yang belum bebas sepenuhnya di negara ini.
“Biasanya orang yang nak cepat (PRU) ni yang gila kuasa, yang nak tangguh ni tak gila… kita fikir panjang,” kata Hadi.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed yang menggelar PAS sebagai parti kemaruk kuasa, kerana takut hilang jawatan dalam kerajaan selepas PRU15.