Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata dakwaan bahawa operasi perlombongan lantanida yang merupakan sejenis nadir bumi di Hulu Perak dekat Gerik telah dimulakan adalah tidak benar.
Sebaliknya Saarani dipetik Bernama berkata, imej daripada paparan satelit yang dirakam adalah struktur lama yang dibuat bagi kerja-kerja awalan dalam mengenal pasti kehadiran bahan di lokasi tersebut.
Menurutnya, kerja-kerja di tapak itu telah bermula sebelum dia memegang jawatan menteri besar.
“Saya ingat perkara ini sudah lama sebelum saya menjadi Menteri Besar pada dua tahun lepas. Menteri Besar sewaktu kerajaan dahulu lagi telah memberitahu terdapat sebuah penemuan mineral baharu,” katanya dipetik agensi berita itu.
Menteri besar sebelum ini ialah Ahmad Faizal Azumu, yang memegang jawatan itu dari Mei 2018 hingga Dis 2020 ketika pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Saarani mengulas laporan Malaysiakini yang memantau imej satelit sejak Dis 2019 berhubung dakwaan aktivis alam sekitar bahawa terdapat bukti operasi perlombongan yang sedang dijalankan di tapak itu.
Tapak Hulu Perak telah diperuntukkan bagi tujuan perlombongan lantanida, iaitu 15 unsur kimia yang kebiasaannya dikenali sebagai nadir bumi, dan digunakan bagi sektor elektronik.
Saarani pada 23 Mei tahun ini berkata penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek itu telah diluluskan seminggu sebelum itu.
Bagaimanapun, pegawai lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata semakan di “Google Maps” menunjukkan bahawa struktur kolam penampungan (pregnant solution ponds) telah didirikan sebelum EIA diluluskan.
Kolam penampungan digunakan untuk menyimpan larutan kimia dalam proses perlombongan.
Menurut Saarani, kerja-kerja telah dimulakan di tapak itu secara kecil-kecilan, namun dia mengakui terdapat kerja penggalian dilakukan sebelum kebenaran diberikan.
“Ia telah dimulakan secara kecil-kecilan di tapak tanah kepunyaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) namun apabila saya melakukan lawatan Program MESRA di Gerik didapati sudah ada tanah yang dikorek dan berlubang.
“Kami telah mengarahkan mereka untuk menghentikannya kerana belum mendapatkan kebenaran,” katanya.
Kerajaan Perak sebelum ini memaklumkan perlombongan nadir bumi di Hulu Perak akan menjadi projek perintis untuk mengenal pasti sama ada lantanida boleh menjadi sumber pendapatan baru bagi negeri itu.
Berdasarkan EIA, perlombongan akan dijalankan melalui proses larut lesap in-situ dengan membina tujuh loji hidrometalurgi serta mewujudkan lubang suntikan dan sistem paip.
Projek itu meliputi 11 bidang tanah seluas 5,339 ekar (2,161 ha) dan dimiliki oleh Menteri Besar Incorporated Perak (MB Inc Perak), Majlis Daerah Gerik, Felcra Bhd dan SADC.
Keluasan itu bersamaan dengan kira-kira 3,026 padang bola sepak.
Aktivis alam sekitar menentang projek berkenaan memandangkan ia terletak di Central Forest Spine yang merentangi Semenanjung Malaysia.
Kawasan projek itu juga berada dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 yang mengikut Rancangan Fizikal Negara, adalah kawasan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti kecuali pelancongan berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan.
Dianggarkan terdapat kurang daripada 150 harimau Malaya, 3,100 gajah liar, 1,500 tapir, dan 500 ekor beruang matahari di hutan di Malaysia.