Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan adalah menepati Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di tengah-tengah kritikan masyarakat Orang Asli yang akan kehilangan tempat tinggal akibat projek berkenaan.
TNB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis pecah tanah bagi projek itu semalam, menegaskan bahawa masyarakat Orang Asli akan dipindahkan ke kawasan penempatan semula yang memiliki kemudahan lebih berkualiti.
“Projek ini juga menepati Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disetujui sebulat suara oleh 193 negara termasuk Malaysia pada 2015.
“Ia mensasarkan manusia dapat menikmati keamanan dan kemakmuran dengan melindungi bumi dan membasmi kemiskinan serta menyeimbangkan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.
“Ini boleh dikaitkan dengan penempatan semula masyarakat Orang Asli di lokasi projek itu, dengan kemudahan berkualiti seperti bekalan air bersih, elektrik, sistem rawatan kumbahan, jalan masuk, klinik, dewan serbaguna, kompleks sekolah, rumah kedai, kemudahan sukan dan rekreasi,” katanya dalam satu kenyataan.
TNB menjelaskan projek itu juga akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan dalam pelbagai bidang seperti pembinaan, makanan dan peruncitan, serta industri baru seperti eko-pelancongan dan akuakultur, seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi serta kehidupan masyarakat setempat.
Masyarakat Orang Asli yang tidak dipindahkan tetapi tinggal berhampiran projek itu sebelum ini melahirkan kebimbangan bahawa projek itu akan menjejaskan cara hidup mereka.
Masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada hasil memburu dan hasil hutan berhampiran mendakwa kawasan tanah rayau mereka akan ditenggelami air akibat projek berkenaan.
Tidak yakin dengan jaminan yang diberikan, masyarakat Orang Asli hadir ke Putrajaya minggu lalu untuk membantah projek empangan itu.
Wakil masyarakat Orang Asli berkata mereka meminta campur tangan daripada kerajaan persekutuan kerana suara mereka tidak diendahkan kerajaan Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob yang hadir pada majlis pecah tanah projek itu menegaskan semua kepentingan kerajaan negeri dan rakyat Kelantan telah diambil kira, selain keupayaan projek itu membantu negeri Kelantan menangani masalah banjir.
Tambahnya, projek empangan itu juga akan menyediakan bekalan air bersih dan penambahbaikan pengairan untuk aktiviti pertanian.
Turut hadir ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan.
TNB berkata empangan itu dijangka menyumbang secara purata unit dijana sebanyak 600-Gigawatt jam setahun, sekali gus menghindari pelepasan 355,000 tan karbon dioksida (CO2) oleh operasi loji haba (bahan api fosil).
Katanya, Pelaksanaannya membantu kerajaan menuju sasaran 31 peratus kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara pada 2025 dan 40 peratus menjelang tahun 2035.