Sebuah treler jenis Mercedes Benz dengan muatan kayu balak terbalik dalam kejadian yang turut membabitkan empat kenderaan lain di Kilometer 65 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata kejadian kira-kira 6.30 petang itu berlaku selepas sebuah kereta jenis Proton Wira terbabas ke kanan jalan dan melanggar treler dari arah bertentangan.
“Ia menyebabkan treler terbalik di tengah jalan, lalu dua buah kereta jenis Perodua Alza dan sebuah Proton Exora tidak sempat mengelak dan terlanggar kayu balak yang jatuh di atas jalan.
“Susulan itu keadaan lalu lintas terhalang sepanjang lima kilometer dari kedua-dua arah,” katanya dalam kenyataan kepada media ketika dihubungi, malam tadi.
Terdahulu gambar kemalangan yang memaparkan sebuah treler dengan muatan balak terbalik dan beberapa kenderaan terlibat itu tular di media sosial.
Ia menyebabkan jalan utama yang menghubungkan kedua-dua daerah itu terhalang sekali gus berlaku kesesakan trafik.
Sementara itu, Choon Foo berkata siasatan lanjut kejadian itu masih dijalankan.
Katanya, susulan kejadian itu kesemua mangsa terlibat selamat dan hanya pemandu treler mengalami kecederaan ringan.
“Keadaan lalu lintas kembali seperti biasa selepas kerja-kerja pembersihan yang mengambil masa sehingan enam jam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” jelasnya.