Kenyataan bertali-arus pemimpin PAS yang menghentam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung gesaannya supaya pilihan raya umum ke-15 diadakan segera membuktikan mereka sedar bahawa kuasa mereka semakin hampir hilang, kata pengarah komunikasi pemuda Umno Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Menurutnya pemimpin PAS, akhir-akhir ini “berjemaah berpesta” menyerang kepimpinan Umno yang didianggap sebagai sudah “melampaui batas adab dalam berkawan.”
Merujuk khusus kepada kenyataan terbaru Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin terhadap Zahid, Syed Mohd Johan berkata tindakan itu sebagai satu campurtangan terhadap urusan Umno.
“Jelas dari suara dua pemimpin PAS ini, mereka fobia PRU kerana menyedari saat hilang jawatan, hilang keistimewaan sebagai menteri, menteri besar yang semakin hampir.
“Kalau boleh mereka mahu memberhentikan waktu, supaya tarikh tamat penggal sekarang iaitu pada pertengahan tahun hadapan tidak tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Kenyataan Khairil Nizam itu difahami sebagai membela kecaman terhadap Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) yang celupar mendakwa Umno mahu PRU cepat kerana ada kaitan dengan kes mahkamah beberapa pemimpinnya, sedangkan dia sendiri lupa tentang kenyataan flip flop presidennya (Abdul Hadi Awang) pada 28 Feb 2020 yang bertegas mahukan pilihan raya semula setelah PH jatuh dengan sendirinya.
“Memang benarlah, kuasa yang ada walaupun sedikit cukup memabukkan sehingga seorang berstatus tok guru sendiri mudah berubah.
Semalam, Khairil Nizam menasihatkan Zahid supaya berhenti seketika daripada ‘berpolitiking’ kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.
Tambah Khairil Nizam, tiada keperluan untuk kerajaan segera mengadakan pilihan raya umum, kerana berpendapat Zahid sepatutnya memberikan fokus menggerakkan jentera Umno untuk bersama dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi yang semakin menekan rakyat.
Kata Syed Mohd Johan, desakan mempercepatkan PRU15 adalah hasil daripada suara majoriti ahli Umno dari perhimpunan parti yang lalu, melalui suara akar umbi.
“Ini parti kami, kami pandailah mengurus sendiri tanpa perlu orang luar memberitahu apa yang perlu dilakukan. Tidak perlu sibuk mencampuri urusan nakhoda kapal lain sedangkan kapal kamu sendiri sudah sesat haluan.
“Lebih baik kamu nasihatkan Pengerusi PN (Muhyiddin Yassin) yang bersungguh-sungguh mahukan jajaran baharu dengan DAP, atau mungkin ada fatwa baru daripada tok guru untuk menghalalkan kerjasama terbaru dengan DAP?” sindirnya.
Sehubungan itu, Syed Mohd Johan menasihatkan sekutu mereka itu supaya tidak bertanding pada PRU akan datang.
“Begini sajalah PAS sekiranya takut kalah, jangan bertanding pilihan raya. Jadi sahaja parti kuat ceramah sambil mengedar tong derma kerana ia lebih menguntungkan,” perlinya lagi.