Presiden Indonesia, Joko Widodo merombak Kabinetnya untuk kali ketiga semalam, dalam tempoh dua penggal beliau memegang jawatan itu.
Melalui rombakan itu, dua ahli Kabinet baharu diumumkan iaitu Zulkifli Hasan sebagai Menteri Perdagangan dan Hadi Tjahjanto yang dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Agraria dan Perancangan Ruang.
Zulkifli adalah Ketua Parti Amanat Nasional (PAN) yang sebelum ini Menteri Perhutanan dari 2009 hingga 2014 di bawah pemerintahan bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Sementara, Hadi berkhidmat sebagai panglima tentera negara dari Disember 2017 hingga November 2021.
Rombakan baharu itu turut menyaksikan pelantikan tiga timbalan menteri iaitu John Wempi Wetipo sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Afriansyah Noor (Timbalan Menteri Tenaga Kerja) dan Raja Juli Antoni (Timbalan Menteri Hal Ehwal Agraria dan Perancangan Ruang).
Mengulas mengenai rombakan itu, Widodo berkata, barisan ahli-ahli Kabinet yang baharu dilantik berdasarkan kemampuan mereka.
“Kita melihat rekod prestasi dan kemahiran pengurusan mereka kerana mereka bukan sahaja perlu bekerja pada isu makro, tetapi juga mikro,” katanya.
Katanya, beliau telah mempertimbangkan pengalaman dan rekod prestasi Zulkifli Hasan sebelum pelantikan dibuat.
“Oleh kerana pada masa ini, hal ehwal makanan berkaitan rakyat memerlukan pengalaman lapangan, kerja lapangan yang terlibat secara langsung terutama dengan keperluan rakyat.
“Dari segi eksport, saya fikir ia juga urusan Menteri Perdagangan, tetapi apa yang lebih penting ialah keperluan asas (rakyat) dalam negara yang kita perlu jaga,” katanya.- Agensi