Kabinet Sri Lanka meluluskan hari Jumaat sebagai cuti kepada kakitangan awam di negara itu bagi menggalakkan mereka terlibat dengan aktiviti pertanian.
Pengumuman cuti itu dibuat sebagai langkah meningkatkan pengeluaran, terutama pertanian bagi kegunaan rakyat di negara berkenaan.
“Dengan arahan berkenaan, kakitangan awam digalakkan menjalankan aktiviti pertanian bagi meningkatkan pengeluaran dalam negara.
“Keputusan itu adalah wajar bagi membolehkan mereka bertani di halaman rumah atau ditempat lain dalam usaha tangani isu kekurangan makanan,” kata pejabat penerangan kerajaan dalam kenyataan.
Negara kepulauan yang mempunyai sekitar sejuta pekerja sektor awam berdepan krisis pertukaran mata wang asing yang krtikal.
Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe sebelum ini memaklumkan negara sedang bergelut dengan masalah kekurangan makanan yang serius.
Malah, pakar tempatan membuat jangkaan kekurangan bekalan makanan asas yang serius seperti beras dan makanan asas lain mulai September depan berikutan kekurangan pengeluaran.
Ekonomi Sri Lanka kini berdepan krisis berikutan masalah Imbangan Pembayaran (BoP) yang kritikal.
Rizab pertukaran asingnya semakin berkurangan dan semakin sukar sekali gus menyebabkan negara berdepan masalah untuk mengimport barangan keperluan pengguna. – Agensi