Ukraine merayu untuk segera mendapatkan lebih banyak senjata dalam usaha menentang kemaraan Russia di kawasan selatan dan timur.
Permintaan itu dibuat ketika pemimpin Eropah dijangka hadir ke ibu negara, Kyiv.
Mejar Jeneral Dmytro Marchenko, yang mengetuai tentera Ukraine di Mykolaiv berkata, tenteranya boleh meraih kemenangan ke aas tentera Russia jika mereka diberikan senjata yang tepat.
“Adalah jelas situasi akan berakhir tidak lama lagi. Tetapi sekali lagi, jika diberikan semua senjata yang kami perlukan, serangan balas mungkin akan berakhir pada penghujung musim panas,” Marchenko memberitahu Radio Free Europe/Radio Liberty.
Sejak bermulanya ‘operasi ketenteraan khas’ Russia di Ukraine pada 24 Februari, Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya telah ‘menyerahkan’ pelbagai senjata canggih ke negara bekas Soviet itu.
Russia berkali-kali memberi amaran bahawa kebanjiran senjata Barat tidak akan memaksa Moscow untuk menamatkan serangan sebelum mencapai objektifnya.
Kremlin berkata, penyaluran senjata ke Ukraine hanya akan memanjangkan perang.
Russia kini menumpukan sebahagian besar kuasa serangannya untuk menawan bandar utama Sievierodonetsk di timur Ukraine.
Pada masa sama pihaknya cuba mengukuhkan kawalannya ke atas wilayah selatan – termasuk bandar Kherson yang strategik dan telah dirampas, terletak di utara Laut Hitam. – Agensi