Veteran DAP Lim Kit Siang menafikan dakwaan bahawa dia mengkhianati bekas rakan partinya dalam DAP, Lee Lam Thye menjelang pilihan raya umum 1990.
Lee dalam memoirnya mengatakan dia mengambil keputusan keluar DAP 32 tahun lalu disebabkan usaha menyingkirkannya di Bukit Bintang di mana dia berkhidmat sebagai ahli parlimen selama empat penggal di kawasan itu.
Lim dalam satu kenyataan hari ini, berkata dakwaan Lee adalah satu penipuan besar.
“Perkara ini adalah satu penipuan besar kerana saya tidak pernah memberitahu Lam Thye yang dia tidak boleh bertanding di Bukit Bintang lagi, dan tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk Lam Thye bertanding di mana-mana kerusi selain daripada Bukit Bintang sebelum pilihan raya umum 1990,” katanya.
Tambahnya, sehingga hari ini dia tidak tahu punca sebenar Lee bersara daripada politik pada 1990.
Menurut Lee, dia diberitahu oleh pimpinan DAP bahawa mereka telah mengenal pasti calon untuk menggantikannya di Bukit Bintang, sebelum dia memutuskan untuk keluar parti.
Menurut Lee, langkah meletakkannya di kerusi lain adalah disebabkan gaya politiknya yang “tidak suka berperang” yang dianggap tidak sesuai dengan kepimpinan parti.
Dilaporkan bahawa Lim adalah antara mereka yang tidak sehaluan dengannya.
Bagaimanapun, Lim berkata dia sentiasa menganggap gaya politik mereka yang berbeza sebagai “melengkapi antara satu sama lain”.
Lim memetik rekod ucapannya pada satu majlis DAP di Batu Pahat, Johor sehari selepas Lee mengumumkan persaraannya daripada politik.
“Terdapat cubaan untuk sekian lamanya untuk mewujudkan perpecahan di antara kita semua kerana perbezaan gaya politik masing-masing, tetapi saya sentiasa menganggap gaya politik kita semua yang berbeza ini melengkapi antara satu sama lain, dan DAP yang ada hari ini adalah terbentuk daripada gaya-gaya politik berbeza kita semua ini,” katanya ketika itu.
Lim juga dilaporkan berkata dia berulang kali cuba memujuk Lee untuk kekal bersama DAP, namun gagal berbuat demikian.