Bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata partinya dahulu tidak pernah menerima sumbangan sebanyak RM1.3 juta yang didakwa diberikan kepada Muhyiddin Yassin, pada 2018.
Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata dia tidak pasti berhubung kebenaran dakwaan terhadap presiden Bersatu itu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata sebagai pengerusi Bersatu ketika itu, dia berkata dana yang disebutkan itu tidak sampai ke bendahari parti.
“Saya tak tahu betul, tak betul… Yang saya tahu duit itu tak masuk tabung kita. Kalau sebarang wang yang diterima dari penderma, (ia) bukan disimpan oleh orang yang menerima. Saya pun kalau terima duit, saya serah kepada bendahari.
“Tetapi, setakat saya tahu, Muhyiddin Yassin tidak serah kepada bendahari sebanyak RM1.3 juta yang disebutkan ini.
“Ini bermakna bahawa sama ada dia dapat atau tak dapat, hakikatnya adalah tiada serahan wang RM1.3 juta kepada bendahari kita,” katanya kepada pemberita ketika satu majlis di Kuala Lumpur semalam.
Muhyiddin didakwa menerima RM1.3 juta oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) secara tunai dalam tiga peringkat pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.
Ia didedahkan oleh bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, iaitu saksi di dalam perbicaraan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Jun lalu.
Selain Muhyiddin antara ahli politik lain yang disebut-sebut sepanjang prosiding itu ialah Khairy Jamaluddin, Reezal Merican Naina Merican, Hishammuddin Hussein, Mohd Shafie Apdal dan Anifah Aman.
Nama-nama ahli politik itu terdapat di dalam lejar UKSB dan Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Saksi itu turut mengesahkan berdasarkan catatan lejar itu, UKSB memberi Khairy dana keseluruhan sebanyak RM3.7 juta manakala Reezal Merican, berdasarkan laporan forensik SPRM, antara RM200,000 hingga RM300,000.
Setakat ini, hanya Muhyiddin dan Anifah yang telah menafikan menerima dana tersebut.
Muhyiddin berkata dakwaan berkenaan adalah palsu kerana menurutnya dia ketika itu sedang menjalani rawatan kanser, pada tarikh yang didakwa Tan itu.