Semua program Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat ditangguhkan ke tarikh yang akan diumumkan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur kerana gering di bahagian kaki.
Istana tidak menyebut secara khusus program-program itu.
Bagaimanapun hari ini, baginda dilaporkan dijadual menganugerahkan watikah pelantikan kepada bakal-bakal duta, termasuk anggota parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Tidak seperti bakal-bakal duta lain, kewibawaan Tajuddin–anggota Majlis Tertinggi Umno– berdepan kecaman meluas susulan komennnya berkaitan kemalangan LRT sebelum ini.
Tidak seperti Tajuddin, empat lagi bakal duta itu adalah anggota perkhidmatan awam.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Tajuddin.
Pulang bersemayam dalam masa terdekat
Sementara itu, dalam kenyatan hari ini, Ahmad Fadil berkata, kesihatan Al-Sultan Abdullah secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.
“Seri Paduka dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan,” katanya.
Ahmad Fadil berkata rakyat diseru bersama-sama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan.