Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya menggunakan kuota menteri daripada Umno dan bukannya “mencuri” kuota Bersatu jika dia mahu mengekalkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.
Demikian kata Ketua Bersatu Bahagian Ampang Mohd Isa Mohd Saidi (gambar, bawah) sambil menyifatkan Zuraida seorang yang cuma mahu menjaga jawatannya semata-mata.
“Zuraida tiada prinsip. Dahulu beliau antara yang kuat mengkritik pimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak. Tetapi hari ini mereka menjadi sumber nyawa untuk Zuraida.
“Tidak ada sebab untuk perdana menteri mengekalkan Zuraida dengan mencuri kuota Bersatu.
“Jika perdana menteri mahu memberi talian hayat kepada Zuraida, beliau perlu menggugurkan salah seorang menteri dari kuota Umno dan bukan mencuri kuota Bersatu,” kata Isa pada satu kenyataan hari ini.
Ketua Bersatu bahagian itu seterusnya berkata dia tidak terkejut apabila menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan dikatakan bakal menjadi presidennya.
Isa mendakwa Zuraida sentiasa mahu memegang jawatan tertinggi dalam parti dengan cepat, tanpa melalui proses pemilihan, walaupun ketika berada dalam Bersatu.
Bagaimanapun, dia berkata ahli parlimen Ampang itu tidak memberi tumpuan untuk membantu parti atau rakyat selepas dilantik menganggotai majlis tertinggi Bersatu.
“Semua tindakan beliau hanya untuk kelompok kecil kroni-kroni yang bersama dia saja, bukan untuk parti atau rakyat.
“Oleh itu, kami sentiasa teguh bahawa tiada ahli parti yang mengikuti ‘Langkah Zuraida’, malah tiada satu cawangan pun yang ditutup dalam Bahagian Ampang di mana Zuraida pernah berada,” kata Isa lagi.
Zuraida mengumumkan akan keluar Bersatu untuk menyertai PBM bulan lepas dan akan bertemu dengan Ismail Sabri tidak lama lagi untuk membincangkan kedudukannya dalam kabinet.
Awal hari ini, dia juga telah menyatakan harapannya bahawa dia akan dapat mengekalkan jawatan kabinetnya.
Ismail Sabri berkata dia akan bertemu dengan Zuraida minggu depan berhubung perkara ini tetapi menjelaskan sementara itu ahli parlimen Ampang akan terus menjalankan tugas menterinya.
Bersatu mendesak Zuraida digugurkan daripada kabinet dan presiden parti itu Muhyiddin Yassin berusaha bertemu dengan Ismail Sabri untuk membincangkan penggantinya.