Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengehadkan senarai pegawainya yang diberi kuasa untuk mengeluarkan kenyataan akhbar dan bercakap kepada media.
Menurut satu sumber dalaman polis, pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Acryl Sani Abdullah Sani awal minggu ini menyenaraikan hanya tiga pegawai penting di Bukit Aman dibenarkan bercakap kepada media.
Mereka adalah KPN sendiri, setiausaha Polis Diraja Malaysia dan pegawai yang bertanggungjawab ke atas komunikasi korporat polis.
Bagi peringkat negeri dan daerah, hanya ketua polis negeri (CPO) dan ketua polis daerah (OCPD) diberi kuasa untuk bercakap kepada media.
“Pekeliling itu menyatakan sekiranya sesuatu isu melibatkan dua ibu pejabat polis negeri atau lebih, maka penglibatan media akan diselaraskan oleh bahagian komunikasi korporat Bukit Aman.
“Selain itu, sebarang permohonan untuk mengadakan wawancara atau mendapatkan kenyataan di peringkat Bukit Aman perlu terlebih dahulu melalui jabatan untuk semakan atau penyelarasan,” kata sumber.
Katanya, arahan baru itu untuk mengehadkan semua pegawai polis lain daripada mengeluarkan kenyataan kepada media.
Mereka termasuk pengarah jabatan polis di Bukit Aman dan ketua jabatan di peringkat negeri. Pekeliling itu juga mengecualikan timbalan KPN dan pegawai lain yang mengetuai formasi polis.
Sebelum ini, pengarah jabatan Bukit Aman dibenarkan memberi kenyataan dan ulasan kepada pihak akhbar tanpa sebarang sekatan, manakala di peringkat negeri, ketua jabatan termasuk ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri mempunyai kuasa yang sama berbuat demikian.
Menurut sumber, tiada sebab dinyatakan atas perubahan dasar baru Bukit Aman.