Bekas ketua penerangan BN Selangor Isham Jalil dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno, menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang baru dipecat.
Terdahulu, Ahli MKT Puad Zarkashi di dalam akaun Facebook miliknya memuat naik gambar Isham di mesyuarat MKT malam ini di Pusat Dagangan Dunia (PWTC), Kuala Lumpur dengan keterangan “Tahniah saudara Isham Jalil.”
Ketika ditanya sama ada pelantikan Isham akan membantu parti, Puad ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat MKT berkata Umno memerlukan orang yang ‘berotak’ dalam parti tersebut.
“Ya, kita memerlukan lebih ramai mereka yang ada brain dalam parti sebenarnya,” kata Adun Rengit itu.
Ketika diminta mengulas lanjut sama ada akan lebih ramai ahli MKT yang akan dipecat parti, menurutnya perkara tersebut tidak timbul sekiranya ahli mematuhi arahan parti.
“Saya rasa asas yang penting, siapa yang tak ikut parti memang wajar pun dia kena tindakan sebab mana-mana organisasi pun perlukan ahli yang berdisiplin, yang patuh kepada keputusan parti.
“Jadi tak kiralah siapa pun. Soal ramai lagi tak timbul. Yang penting kalau semua patuh parti tak ada masalah,” kata Puad.
Terdahulu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Tajuddin digugurkan sebagai ahli MKT Umno kerana melanggar keputusan parti.
Puad berkata soal mengkritik presiden bukan menjadi isu utama kerana dirinya juga pernah mengkritik presiden.
“Saya juga mengkritik presiden… tidak ada masalah pun. Tapi biarlah betul.
“Mana yang sudah menjadi keputusan kita patuh. Soal mengkirtik, siapa-siapa boleh mengkritik. Jadi apa masalahnya?
“Saya juga mengkritik (presiden)…saya juga mengkritik PM (Ismail Sabri Yaakob),” katanya.
Puad turut menjelaskan bahawa antara perbincangan utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut merupakan pilihan raya umum (PRU) dan tindakan disiplin terhadap MKT.
Isham mahu fokus isu kos sara hidup
Sementara itu, Isham ketika ditemui selepas mesyuarat berkata agenda utamanya adalah untuk menumpukan isu kos sara hidup dan pemulihan ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.
Menurutnya, pelantikannya itu akan dijadikan satu motivasi untuk dirinya bekerja dengan lebih keras demi parti.
“Isu ekonomi (menjadi keutamaan) sebab ia bukan saja beri kesan kepada parti tapi kepada semua orang, terutamanya lepas Covid-19 ni seluruh dunia terkesan.
“Kita sebahagian daripada kerajaan… jadi kita akan kerjasama dengan kerajaan dan perdana menteri hari ini dari Umno.
“Jadi mudah untuk cari penyelesaian yang kita hadapi sekarang,” katanya.
Isham, 46, berkelulusan Sarjana Dasar Awam dari Harvard University.