Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menggesa kerajaan membekukan kenaikan elaun tahunan Pengerusi FGV Holdings Bhd dan enam ahli lembaga pengarahnya yang disifatkannya sebagai melampau.
“Saya mengulangi seruan saya kepada kabinet yang bermesyuarat pada hari Rabu hadapan untuk mengeluarkan arahan untuk membekukan kenaikan gaji dan elaun di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan untuk memecat mana-mana lantikan GLC dan GLIC yang mengingkari arahan ini.
“Arahan kabinet ini kemudiannya perlu dibentangkan ke parlimen pada 18 Julai untuk mendapat persetujuan parlimen.
“Pengerusi FGV Holdings Bhd, Datuk Zulkifli Abd Wahab dan enam ahli Lembaga Pengarah FGV juga perlu mengumumkan yang mereka tidak akan menerima peningkatan elaun yang keterlaluan sebegini yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunannya dua hari lepas,” kata Kit Siang dalam kenyataan.
Veteran DAP itu berkata, akibat berasa malu dengan pengumuman itu, Perdana Menteri Ismail Sabri baru-baru ini membuat pusingan-U mengenai harga siling ayam dan mengumumkan kerajaan tidak akan membenarkan peningkatan tarif air dan elektrik di Semenanjung Malaysia.
Ismail juga katanya mengumumkan bahawa keluarga yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan menerima RM100 tambahan manakala penerima BKM yang berstatus bujang akan menerima RM50 tambahan.
“Pusingan-U ini tidak dapat mewajarkan peningkatan melampau elaun tahunan Pengerusi FGV Holdings Bhd dari RM300,000 ke RM480,000 dan peningkatan elaun enam ahli Lembaga Pengarahnya dari RM150,000 kepada RM120,000,” katanya.
Pada Khamis lalu, majoriti pemegang saham FGV meluluskan 13 resolusi yang dibentangkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat perladangan itu termasuk menaikkan elaun Pengerusi dan ahli lembaga Pengarahnya.
Elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan dari RM300,000 kepada RM480,000 atau bersamaan RM25,000 kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh satu tahun, bermula 24 Jun 2022 sehingga AGM akan datang.
Imbuhan Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga dinaikkan daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau dari RM10,000 kepada RM12,500 sebulan.