Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memakumkan keseluruhan kawasan Bukit Gasing di Petaling Jaya diisytiharkan sebagai kawasan tanah runtuh enam bulan lalu.
Dalam satu kenyataan, Unit Komunikasi Korporatnya berkata perkara itu diputuskan berdasarkan penemuan siasatan Jabatan Kejuruteraan MBPJ pada 31 Jan.
Bukit Gasing dipercayai antara lokasi cerun bukit yang ditandakan sebagai berisiko tinggi berlaku kejadian tanah runtuh di Selangor.
Kerajaan Selangor sebelum ini mengenal pasti 150 cerun bukit di negeri ini yang berisiko tinggi berlaku tanah runtuh berikutan kejadian pada Mac yang meragut empat nyawa di Taman Bukit Permai 2, Ampang.
Adun Pandan, Indah Izham Hashim yang melaporkan mengenai 150 lokasi berisiko tinggi itu tiga bulan lalu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan respons walaupun beberapa kali usaha dilakukan.
Tiada butiran lanjut mengenai 150 lokasi berkenaan mahupun perkembangan projek tebatan tanah runtuh sejak hal itu didedahkan.
Sementara itu, Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata setakat ini, 150 kawasan berisiko tinggi itu belum dibincangkan dalam mesyuarat DUN.
Majlis bandaraya itu mengulas laporan Malaysiakini pada 11 Jun mengenai langkah sementara yang diambil untuk melindungi hakisan cerun bukit dengan menutupnya dengan kanvas yang telah rosak.
MBPJ menjelaskan bahawa cerun yang dikenal pasti dalam laporan itu adalah sebahagian daripada siasatan yang dijalankan pada bulan Januari dan kesemuanya berada di tanah kosong miliki persendirian.
Bagaimanapun, projek pembinaan yang belum siap di atas dua cerun itu boleh dilihat dari tepi jalan.
Gambar yang diambil oleh Malaysiakini pada 10 dan 23 Jun, menunjukkan kanvas yang telah reput menutupi cerun dan hakisan yang berlaku di bawahnya, disebabkan hujan lebat dalam tempoh berkenaan.
Orang awam berisiko
Kanvas biru yang menutupi tiga cerun di sepanjang Jalan 5/64 menunjukkan bahaya yang menanti penduduk dan orang ramai yang melakukan aktiviti riadah di situ, sekiranya lereng bukit itu runtuh.
Tanah runtuh berlaku di sepanjang jalan yang sama pada Mei 2013 menyebabkan pokok tumbang, memusnahkan kereta dan menyebabkan jalan berkenaan tidak dapat dilalui.
Jalan menuju ke Bukit Gasing popular di kalangan penduduk Petaling Jaya, termasuk di kalangan warga emas yang melakukan aktiviti senaman.
“Pada Mac, bertindak atas keselamatan awam dan mengikut Seksyen 101 (5) Akta Kerajaan Tempatan 1976, majlis mengambil tindakan sementara untuk menutup cerun yang terdedah,” kata MBPJ.
MBPJ tidak memberi maklum balas sekiranya tindakan itu diambil sebelum atau selepas kejadian tanah runtuh di Ampang pada bulan yang sama.
Majlis Bandaraya itu berkata cerun terdedah itu ditutup dengan kepingan terpal bagi mengelakkan air mengalir terus ke atas permukaan tanah.