Kerajaan wajar memperkenalkan kaedah bantuan baucar makanan secara digital bagi membantu penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menghadapi inflasi di negara ini.
Biro Pengguna Amanah berkata baucar tersebut boleh diberikan kepada golongan sasar secara bulanan dan penebusannya dibuat melalui kad pengenalan penerima.
Pengerusi biro tersebut Faiz Fadzil berkata penerima bantuan tersebut bolehlah menebus baucar berkenaan bagi membeli makanan asas seperti beras, minyak masak, sayur-sayuran, ayam dan ikan.
“Dengan pemansuhan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol, kerajaan tidak lagi perlu berbelanja RM605 juta sebulan (RM550 juta untuk ayam dan telur; RM55 juta untuk minyak masak).
“Ini adalah penjimatan RM7.26 bilion untuk tempoh setahun. Namun, kerajaan hanya menghulurkan bantuan tunai one-off sebanyak RM630 juta dalam bentuk RM50 kepada orang bujang dan RM100 untuk isi rumah melalui BKM.
“Hakikatnya, bantuan RM50 dan RM100 ini tidak mencukupi,” katanya.
Faiz yang juga Adun Permatang Pasir menegaskan sebenarnya pada Mei lalu negara ini sudah mencatat kadar inflasi makanan tertinggi sejak Nov 2011.
Jabatan Perangkaan Malaysia pula, katanya, melaporkan harga untuk 93 peratus item dalam kumpulan makanan telah meningkat.
Keadaan itu, tambah Faiz, menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkatkan dengan ketara, seterusnya meningkatkan kadar inflasi negara.
Katanya sungguhpun kerajaan membuat pusingan U ke atas isu harga apungan ayam, namun harga ayam tetap dijangka tinggi.
Keadaan akan menjadi lebih parah, menurut Faiz, apabila kerajaan memutuskan untuk menghentikan subsidi ke atas beberapa barang makanan asas termasuk ayam, telur dan minyak masak dalam botol mulai 1 Julai.
“Persoalannya, adakah kerajaan tidak memahami kesan yang akan berlaku apabila subsidi dipotong tetapi bantuan tunai yang diberikan tidak seberapa?
“Adakah kerajaan Ismail Sabri Yaakob mahu mengulangi kesilapan Najib Razak dulu yang memansuhkan subsidi secara mendadak pada ketika inflasi meningkat?” katanya.