Badan pemantau pilihan raya Bersih tidak setuju dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa perhimpunan jalanan bukan cara bertanggungjawab dalam mencari “penyelesaian yang membina”.
“Siri perhimpunan aman Bersih yang telah dirujuk oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sebagai ‘titik hitam’ dalam sejarah negara bersama dengan insiden 13 Mei,
yang dalam pandangan baginda bahawa protes tersebut hanya menghasilkan kekacauan dan kemusnahan di mana tiada yang menang serta kita masih lagi sedang pulih daripada kesan negatifnya.
“Bersih memohon sembah untuk tidak bersetuju dengan pandangan tuanku dan ingin sembah maklum beberapa perkara menunjukkan bahawa protes adalah kaedah ekspresi politik yang sah dan juga membentuk sejarah negara kita,” kata Bersih dalam kenyataan.
Menurut Bersih, Malaysia sendiri lahir daripada gerakan protes.
“Dato Onn Jaafar telah mengetuai massa untuk menentang Malayan Union, yang dipaksakan oleh British setelah Perang Dunia Kedua, dan ini membuka jalan kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, pelopor kepada kemerdekaan kita daripada British pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963.
“Dato Onn dan Umno bukan sahaja pihak yang menggunakan protes sebagai cara yang sah untuk bertindak secara kolektif. Parti berbilang bangsa seperti gabungan Putera–AMCJA melalui pemimpin seperti Ishak Haji Muhammad, Tan Cheng Lock, K Ganapathy dan Dr Burhanuddin Helmy melancarkan protes hartal seluruh negara pada 1947 untuk mendesak Perlembagaan Rakyat.
“Masa berlalu daripada Demonstrasi Baling kepada Reformasi, rakyat telah memprotes bagi menyatakan solidariti dan keresahan mereka,” kata Bersih.
Protes bawa pembaharuan
Bersih berkata lagi, melalui protesnya yang membangkitkan isu pilihan raya bersih dan adil, beberapa pembaharuan telah diperkenalkan.
“Pengenalan dakwat kekal dan penambahbaikan penjalanan pilihan raya dan peluasan akses pengundian kepada pengundi tidak akan terhasil sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ditekan,” katanya.
Kata Bersih lagi, protes juga dianjurkan untuk membantah skandal 1MDB yang telah disifatkan sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia, di mana sebanyak RM42 bilion telah diselewengkan.
“Respons Bersih terhadap pembongkaran pencurian terbesar ini dengan memanggil dua perhimpunan aman di mana ratusan ribu rakyat Malaysia telah turun.
“Kami menuntut perubahan institusi kepada undang-undang yang sedia ada untuk menamatkan bencana rasuah dalam neagra dan supaya penjenayah yang terlibat dipertanggungjawabkan.
“Sekiranya rakyat tidak diberikan peluang menyatakan kemarahan mereka terhadap ketidakadilan pilihan raya dan korupsi berskala besar ini secara aman, siapa tahu nasib yang akan menimpa negara kita sekarang?” soalnya.
Tanpa protes, kata Bersih, pihak yang terlibat dalam mungkin akan terus melakukan penyelewengan tanpa dikenakan tindakan undang-undang.
“Tuanku sudah tentu tidak akan perkenan tragedi sedemikan, sekiranya rakyat tidak keluar membantah,” kata Bersih.
Mengekalkan keamanan
Mengulas lanjut, Bersih berkata pihaknya sejak dari awal kekal komited dengan protes dan himpunan secara aman.
“Tuanku, sejarah menjadi saksi bahawa bantahan rakyat sememangnya menjadi darah daging kita. Bersih memohon Tuanku mencemar duli untuk menyertai kami untuk bukan sahaja menghormati tetapi juga meraikan hak asasi rakyat untuk bersuara, berekspresi, berpersatuan dan berhimpun secara aman.
“Sebagai negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dengan demokrasi sebagai asas, kita perlu meraikan dan mengalu-alukan sebarang ekspresi dan penyertaan rakyat untuk kebaikan bersama negara Malaysia.
“Tanpa protes, tidak mungkin adanya Malaysia,” kata Bersih lagi.