Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah lembaga khas untuk mengekang “kartel ayam”.
Ketika dihubungi, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata menubuhkan lembaga untuk memantau pembekalan ayam di negara ini.
“Mengawal harga ayam ini bukan roket sains. Kita ada Lembaga Padi, Lembaga Nanas dan sebagainya. Jadi, kita (kerajaan) perlu tubuhkan Lembaga Ayam.
“Lembaga ini yang sepatutnya mengambil keputusan berhubung harga ayam serta pembekalannya.
“Buat masa ini, semua isu ayam kita rujuk kepada kartel. Ia perlu diatasi. Kecuali ia akan berterusan,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi semalam berkata siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung dakwaan pelakuan antipersaingan dalam industri ayam, termasuk kartel ayam, akan dibentangkan kepada anggota suruhanjaya Isnin ini.
Nanta berkata, sekiranya didapati melanggar undang-undang, mereka boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada jualan produk atau perkhidmatan selama mana pelanggaran itu berlaku.
Bercakap kepada Malaysiakini baru-baru ini, Nadzim berkata kenaikan harga ayam bukan perkara baru sebaliknya sudah berpanjangan lebih 25 tahun.
“Setiap kali adanya isu ayam mahal, adanya suara berkata bahawa ia harga berpatutan. Saya terkejut dengan penjelasan seperti ini,” katanya.
Katanya, pengguna perlu mendidik mengenai kos sara hidup.
“Sebagai contoh, semua rakyat Malaysia berpakat untuk tidak membeli ayam selama dua minggu, maka harganya akan menjunam.
“Ia salah kita juga sebagai pengguna.Tidak ada kempen mendidik pengguna. Semuanya dikawal oleh kartel,” katanya.