Pengerusi Save Kelantan Husam Musa mengarahkan peguamnya untuk memfailkan permohonan mengetepikan saman difailkan Al Dar Resouces Sdn Bhd (Al Dar Resouces) dan pemiliknya Mohd Hafiz Mohd Rasdin.
Menurut bekas exco kanan Kelantan itu, pihaknya hanya menerima writ saman berkenaan pada petang semalam melalui serahan tangan kepada pembantu rumah.
“Saya telah mengarahkan peguam saya memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman ini kerana ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan cubaan menghalang terdedahnya kegiatan yang menyalahi undang-undang pihak yang masih belum ditentukan terlibat dalam kes kecurian balak di kompartmen 25 Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri.
“Tindakan saman ini adalah pramatang memandangkan siasatan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu penebangan balak secara haram di kompartmen 25 dan 26 HSK Nenggiri bersebelahan dengan kawasan kerja plaintif adalah belum lagi konklusif.
“Saman ini merupakan satu gangguan terhadap tugas-tugas defendan sebagai pemimpin masyarakat dalam menjalankan tugas melindungi kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Al Dar Resouces dan Mohd Hafiz memfailkan saman dengan tuntutan RM60 juta ke atas Husam susulan pendedahan dibuatnya berkaitan pembalakan di HSK Nenggiri.
Peguam, Azeel Eskandar Azmi, berkata saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu susulan kenyataan Husam yang disifatkan sebagai memfitnah syarikat dan anak guamnya.
Sementara itu Husam menegaskan saman tersebut boleh disifatkan menggantung diri sendiri oleh plaintif dan boleh menjadi pisau bermata dua.
“Insya-Allah saya bertanggung jawab di atas dakwaan dan pertanyaan saya berkaitan kes kecurian balak di kompartmen terbabit, termasuk dua rencana yang dirujuk.
“Saya juga tidak akan berganjak dalam usaha saya menjaga kepentingan rakyat dan negeri Kelantan dan mempastikan semua pihak yang terlibat di bawa ke muka pengadilan,” katanya.
Tegas ketua Amanah Kawasan Kota Bharu itu, sepanjang tulisannya yang dirujuk dalam saman berkenaan sama sekali tidak bersifat fitnah ke atas plaintif.
“Sehingga ini, tiada sebarang kenyataan penafian oleh kerajaan negeri atau agensinya mengenai pemberian kontrak pembalakan, perlombongan dan pemaju Bandar Perabot yang plaintif mempunyai kepentingan atau mendapat manfaat.
“Menjadi amalan dalam sistem demokrasi berparlimen atau dewan undangan negeri untuk pihak-pihak yang berkaitan dengan tanggung jawab awam memberikan makum balas atas pertanyaan, kritikan dan urusan berkaitan kepentingan awam.
“Maklum balas terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan membolehkan urusan kepentingan awam tidak diabai, diselewengkan atau tidak menepati kepentingan awam secara umum. Dengan itu juga, pertikaian awam dapat dielakkan,” kata Husam.