Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan tampil membela presiden partinya Ahmad Zahid Hamidi, susulan dakwaan ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman bahawa ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini adalah liabiliti dan beban kepada survival Umno.
Menerusi paparan skrin yang dikongsi menerusi ciapannya di laman Twitter Ahmad, berkata apa yang paling penting tentang kepimpinan seseorang ialah hasil perjuangan mereka.
“Dalam perjuangan, yang penting adalah hasilnya. Apakah hasil perjuangan (yang) diketuai oleh presiden, dibantu oleh timbalan presiden Umno dan ahli majlis kerja tertinggi (MKT) yang ada, setakat hari ini?” soal Ahmad berkata dalam catatan itu.
Dia seterusnya menyenaraikan beberapa pencapaian Umno di bawah Zahid, selaku presiden, termasuk kemenangan mereka pada tujuh pilihan raya kecil, kemenangan besar pada pilihan raya mengejut Melaka dan Johor.
Turut disenaraikan adalah kejayaan menjadikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri serta mengesahkannya sebagai calon perdana menteri jika mereka terus berkuasa pada pilihan raya umum akan datang.
“Semoga pasukan yang ada ini (akan) berjaya membawa Umno/BN berjaya memenangi semula Malaysia, untuk manfaat rakyat dengan menang dua pertiga majoriti. Insya-Allah,” katanya.
Tajuddin semalam membidas Zahid pada sidang medianya, tiga hari selepas dia disingkirkan sebagai ahli MKT Umno.
Selain mendakwa Zahid sebagai liabiliti kepada Umno, dia memberi amaran bahawa Umno akan kalah dalam pilihan raya umum jika kekal sebagai presiden parti.
Tajuddin juga mendakwa bahawa sekumpulan pemimpin kanan dan berpengaruh dalam Umno dikatakan berkumpul untuk mencari kesepakatan mendesak Zahid berundur secara baik seawal 2020.
Bagaimanapun, dia berkata rancangan itu gagal selepas timbalan presiden Umno Mohamed Hasan dan bekas perdana menteri Najib “membelot” daripada ketetapan tersebut.