Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu tidak tahu menahu mengenai cubaan dakwaan sesetengah ahli parlimen Umno mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sebelum ini.
Pada masa sama Lim menegaskan, dakwaan dibuat Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman semalam tidak relevan dengan masalah yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.
Kata Lim isu seperti inflasi, kenaikan harga barang dan seumpamanya adalah masalah yang sedang membelenggu orang ramai sekarang.
Justeru kata ahli parlimen Bagan itu DAP menyerahkan kepada rakyat untuk melihat sendiri pihak yang kini berbalah demi kepentingan peribadi masing-masing.
“Bagi kami, kami lebih tertumpu kepada usaha mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat, bagaimana memerangi rasuah, mengenai cara untuk orang yang terlibat dalam rasuah boleh dihukum dan bukannya orang yang melawan rasuah dihukum.
“Saya fikir itu lebih penting,” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Lim hadir kerana sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Semalam bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mendakwa sejumlah ahli parlimen parti itu menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri.
Kejadian itu didakwa berlaku pada 2020 ketika Muhyiddin Yassin sedang cuba dijatuhkan oleh Umno daripada jawatannya sebagai perdana menteri.
Kata Tajuddin – yang dipecat daripada MKT Umno pada 21 Jun lalu – antara ahli parlimen yang memberikan sokongan kepada presiden PKR itu ialah Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.
Kata Lim dia tidak pernah melihat sebarang SD yang dimaksudkan Tajuddin.
Sementara itu Mohamad berkata dia tidak pasti sama ada dakwaan Tajuddin itu benar atau sebaliknya dan menganggap ia adalah isu dalaman Umno.
Malah kata bekas menteri pertahanan itu orang ramai sendiri tidak tahu sama ada pemimpin Umno terbabit benar-benar bertelagah atau sebaliknya.
“Mereka itu bergaduh sesama sendiri pun kita tak tahu betul atau tidak,” katanya.