Pendedahan yang dibuat Tajuddin Abdul Rahman semalam hanya memberi peluru kepada lawan untuk menyerang Umno selain mengelirukan ahli parti itu sendiri, kata Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan.
Shahril berkata, ia di saat Umno dan BN, menerusi perhimpunan agung, perhimpunan agung khas dan Konvensyen BN sebelum ini, telah menunjukkan kesepakatan menuju PRU15.
“Sudah tentu yang paling gembira mendengar dakwaan tersebut adalah pihak lawan.
“Naratif lawan akan jadi mudah – ‘bagaimana Umno hendak jual kestabilan kalau dalam Umno sendiri tak berpadu?'” katanya dalam kenyataan. lewat semalam.
Pada sidang media petang semalam, Tajuddin yang baru digugurkan daripada Majlis Tertinggi (MT) Umno antara lain menyifatkan Ahmad Zahid sebagai beban kepada Umno menuju PRU15.
Dia juga mendakwa sekumpulan pemimpin kanan dan berpengaruh dalam Umno berkumpul untuk mencari kesepakatan mendesaknya berundur secara baik daripada jawatan presiden seawal 2020.
Menurutnya, antara pemimpin yang turut ialah timbalan presiden Mohamad Hasan, bekas perdana menteri Najib Razak dan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.
Namun usaha berkenaan gagal selepas Mohamad dikatakan “membelot” ketetapan tersebut, katanya yang baru dilantik sebagai duta Malaysia ke Indonesia.
Tidak merujuk mana-mana pertemuan secara khusus, Shahril berkata “cerita lama tak perlu diungkit dan ditokok tambah” dan hadir dalam mana-mana perjumpaan tidak semestinya bermaksud menyokong apa-apa gerakan.
“Spekulasi tak henti-henti yang ini akan kena pecat, yang itu akan kena pecat. Yang ini akan jadi calon, yang itu takkan jadi calon. Ada yang tembak presiden ada yang tembak perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob). Cybertrooper Umno digerakkan untuk serang orang Umno sendiri.
“Lawan tepuk tangan. Ahli keliru.” katanya lagi.
Berhubung soal di antara parti dan kerajaan, Shahril berkata Umno sudah membuat keputusan bahawa Zahid dan Mohamad menjaga parti manakala Ismail Sabri memimpin kerajaan.
“Soal lantikan MT, hak Presiden. Presiden menang bertanding, hak institusi itu mesti dihormati. Soal lantikan Kabinet, biar perdana menteri uruskan.
“Tiada keperluan pertikai persoal secara terbuka dan menambah perasa,” katanya.
Justeru, katanya lagi, semua pihak dalam Umno tidak perlu bertelagah atau menaruh syak wasangka.
“Parti ini parti yang sepatutnya di ambang kemenangan. Takkanlah kita nak mengundang kekalahan dengan perpecahan,” katanya lagi.