Pengerusi Biro Pengguna Amanah, Faiz Fadzil menyelar agihan bantuan kerajaan yang menurutnya mengetepikan 40 peratus kumpulan berpendapatan sederhana (M40).
Katanya, golongan M40 di bandar terbeban dengan kos hidup lebih tinggi walaupun mempunyai lebih pendapatan berbanding golongan 40 peratus termiskin (B40).
“Mengikut logik kerajaan, isirumah M40 ini tidak layak untuk menerima bantuan tunai.
“Apakah golongan M40 seperti ini harus dianaktirikan?” katanya.
Dalam kenyataan hari ini, dia menyindir Perdana Menteri Ismail Sabri sebagai “PM yang memakai baju berharga RM7,000” yang tidak memahami kesusahan rakyat.
Sementara itu, katanya, dianggarkan lebih 600,000 orang golongan M40 tergelincir ke dalam kategori B40.
“Oleh itu, kerajaan digesa agar bantuan yang menggantikan subsidi ditambah dan kerajaan perlu mengkaji pengenalan sistem baucar makanan digital menerusi kad pengenalan kepada isi rumah M40 bawahan,” katanya.
Berkaitan bantuan kepada B40 pula, katanya, ia tidak setimpal dengan keadaan ekonomi semasa.
“Perdana Menteri Ismail Sabri hanya umumkan bantuan tunai RM50/RM100 kepada rakyat miskin.
“Bayangkan, isi rumah yang mempunyai pendapatan RM2,501 dan tiga orang anak hanya akan diberikan bantuan tambahan RM100 beserta BKM RM100 lagi pada bulan Jun.
“Adakah ini mencukupi?” katanya.
Dia juga mencadangkan jumlah bantuan berbeza mengikut kawasan kerana kos hidup meraka tidak sama.
“Tidak logik jika isi rumah di Kampung Baru, KL menerima bantuan RM100 sama seperti isi rumah di Marang, Terengganu.
“Ini adalah kerana impak inflasi berbeza mengikut lokaliti,” katanya.Dia menambah adalah tidak logik jika isi rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur menerima bantuan RM100 sama seperti isi rumah di Marang, Terengganu kerana impak inflasi berbeza mengikut lokaliti.
Dia juga menggesa kerajaan mengamalkan pengurusan fiskal lebih efisien tanpa ketirisan, termasuk memastikan subsidi sampai ke golongan yang memerlukan.
“Di samping itu, bantuan yang diberikan harus mengambil kira saiz tanggungan dan kawasan yang didiami supaya lebih ramai rakyat dibantu berhadapan kos sara hidup yang menggila ini,” katanya.