Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee menyifatkan kerajaan tidak sensitif mengenai penderitaan dihadapi rakyat susulan peningkatan harga barangan keperluan asas.
Kerk mengulas kenyataan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar yang menyarankan orang ramai mengurangkan pengambilan telur apabila harganya meningkat.
“Adakah kerajaan akan seterusnya menyarankan rakyat kurangkan makan ayam, minyak dan makanan keperluan asas lain apabila harga barang keperluan itu terus naik?
“Apakah kerajaan harapkan rakyat makan nanti?” soalnya dalam kenyataan.
Terdahulu, dalam rakaman video yang disiarkan saluran Youtube Melaka TV, Norena menyarankan orang ramai terutama rakyat Melaka supaya mengurangkan pengambilan telur.
“Kita sebagai pengguna kalau dah tau kenaikan harga telur tu tinggi, kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur.
“Kalau satu minggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tak ada masalah,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut, Kerk berkata apa yang sepatutnya dilakukan bukan menyarankan rakyat mengurangkan pengambilan telur sebaliknya mengurangkan bilangan jemaah menteri.
“Memang tidak boleh dinafikan bahawa kenaikan harga turut disebabkan oleh pelbagai faktor luaran (external factors).
“Namun, kerajaan juga tidak mampu menyakinkan rakyat bahawa kerajaan telah melakukan usaha terbaik (best effort) dalam merancang pelan mitigasi bagi membantu negara kita mengharungi masalah ekonomi.
“Apa yang patut dikurangkan bukan telur tetapi bilangan ahli jemaah kabinet yang tidak mampu menjana idea bagi menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat,” ujarnya.
Bermula 1 Julai, harga siling telur ayam pula naik antara 2 sen bagi setiap gred iaitu 45 sen sebiji bagi Gred A, 43 sen sebiji bagi gred B; dan 41 sen sebiji bagi gred C.