Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan dakwaan BN bertanggungjawab memberikan kerakyatan kepada individu yang tidak layak di Sabah, seperti yang didakwa Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili.
Bagi menyokong dakwaannya, Najib berkata pentadbirannya pada 2015 melantik presiden PBS ketika itu Joseph Pairin Kitingan sebagai ketua Jawatankuasa Pengurusan Negeri mengenai Warganegara Asing.
“Kami tidak terlibat dalam mengeluarkan kad pengenalan (kepada orang yang tidak berkelayakan). Kami mahu memperbetulkan apa yang berlaku pada masa lalu.
“Sebab itu kita lantik pemimpin PBS untuk menyelesaikannya.
“Keutamaan kita sekarang adalah untuk menjamin sempadan kita, meningkatkan keselamatan dan meneruskan usaha pembangunan. Itu agenda BN,” kata Najib.
Najib menjawab ucapan Maximus semasa mesyuarat perwakilan tahunan partinya pada Khamis, di mana beliau menuduh sebuah “parti BN” bertanggungjawab ke atas skim kerakyatan.
Maximus juga menteri kabinet yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak.
Jawatankuasa yang diketuai oleh Pairin itu ditubuhkan untuk melaksanakan cadangan suruhanjaya siasatan mengenai pendatang di Sabah.
Suruhanjaya itu ditubuhkan oleh Najib pada 2012. Hasilnya ialah pegawai kerajaan terlibat rasuah dan jenayah sindiket bertanggungjawab mengeluarkan kad pengenalan kepada individu yang tidak berkelayakan.
Tidak pasti apakah keputusan jawatankuasa yang diketuai oleh Pairin, yang kini merupakan penasihat PBS.
Menurut bancian terkini, Sabah merupakan negeri ketiga paling ramai penduduk di negara ini dan mempunyai kadar tertinggi bukan warganegara (23.7 peratus).