Kira-kira 50 penduduk Petaling Jaya mengadakan perhimpunan aman awal pagi tadi bagi membantah projek Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) yang diluluskan secara prinsip oleh kerajaan.
Projek itu sebelum ini dibatalkan pada 2015, tetapi diluluskan semula pada bulan lepas.
Bercakap pada protes yang diadakan di Jalan Prof Khoo Kay Kim, Ahli Parlimen Selayang dari PKR, William Leong mendakwa pembinaan lebuh raya bertingkat itu hanya akan mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.
“Lebuh raya bertingkat mempunyai tujuannya, contohnya kawasan antara negeri atau luar bandar yang terdapat kawasan berbukit, maka ada sebab yang kukuh untuk mempunyai lebuh raya bertingkat.
“Tetapi sebagai sistem penyuraian trafik bandar ia telah gagal dan selama 30 tahun yang lalu, bandar-bandar yang mempunyai lebuh raya bertingkat telah merobohkannya.
“Kajian menunjukkan bahawa kemudaratan yang dibawa lebuh raya bertingkat adalah lebih banyak berbanding kebaikan. Contohnya dengan PJD Link, apakah kelebihannya? Ia sepatutnya mengurangkan kesesakan dan masa yang diambil dari Damansara ke Kinrara sebanyak 15 minit.
“Adakah 15 minit berbaloi dengan kemudaratan terhadap alam sekitar, kepada penduduk dan ekonomi Damansara, Petaling Jaya dan Kinrara Puchong?”soalnya
Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu dan Pengerusi MCA Damansara, Tan Gim Tuan.
Dibimbangi cadangan lebuh raya PJD Link adalah penjenamaan semula projek lebuh raya Kinrara–Damansara Expressway (Kidex) yang telah dibatalkan sebelum ini.
Lebuhraya Kidex dicadangkan menjadi lebuh raya bertingkat dan dianggarkan menelan belanja RM2.42 bilion.
Projek itu bermula pada 2013 tetapi dibatalkan pada 2015 sejurus selepas Azmin Ali menggantikan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.
PJD Link adalah antara tiga lebuh raya baru yang diluluskan pada Mei tahun ini untuk menangani kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang, dengan dua lagi adalah Lebuhraya Bangi-Putrajaya (BPE) dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL NODE).
Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof berkata pembinaan lebuh raya baru itu akan mewujudkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas berikutan peningkatan jumlah kenderaan.
Sebelum ini dia mengumumkan bahawa ketiga-tiga projek itu tidak akan menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan, dan perlu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi.
Bercakap pada sidang media selepas protes itu, Maria mendakwa Fadillah tidak berhak meluluskan projek lebuh raya berkenaan tanpa terlebih dahulu membentangkan laporan penilaian sosial, ekonomi dan trafik.
“Tiada apa-apa yang dibentangkan (setakat ini). Ia sudah ditolak sebelum ini, tidak ada sebab mengapa lebuh raya seperti itu perlu dikembalikan,” katanya kepada pemberita.
Dia meminta kerajaan negeri Selangor dan kerajaan pusat mencari alternatif lain bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.