Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah meminta campur tangan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berhubung tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis pengusiran terhadap projek Kebun Bangsar, di Kuala Lumpur.
Maria mendakwa projek yang merupakan inisiatif Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar itu mendapat kebenaran daripada penduduk sekitar dan selaras dengan matlamat kerajaan dalam menyediakan pembangunan mampan dan melestarikan alam sekitar.
Lebih-lebih lagi, katanya perdana menteri sendiri memuji projek itu dan projek serupa di Kerinchi, pada 5 Jun lalu.
“Adalah ironi apabila notis pengusiran itu dihantar beberapa minggu selepas Ismail Sabri mengiktiraf ladang itu dalam ucapan hari alam sekitar sedunia.
“Ini tidak selaras dengan komitmen Malaysia untuk menyelamatkan alam sekitar,” kata Chin dalam satu kenyataan.
Maria menyifatkan Kebun Bangsar sebagai pembuat perubahan (Change maker) di Lembah Klang kerana mendidik orang ramai untuk mengusahakan tanaman mereka sendiri.
“Lembah Klang ketandusan kehijauan kerana memberi laluan kepada pembangunan besar-besaran. Kebun ini adalah antara beberapa tempat yang telah memelihara dan melestarikan kehijauan.
“Kita sepatutnya mempromosikan lebih banyak pertanian di bandar dan bukannya mencari jalan untuk mengusir mereka. Terutama dalam krisis makanan yang kita hadapi sekarang, perlu ada lebih banyak langkah untuk menangani perkara ini, seperti mempromosikan pertanian bandar,” katanya.