Kerajaan tidak wajar mengapi-apikan kebencian rakyat negara ini terhadap pekerja warga asing untuk menyembunyikan kelemahan mereka menangani inflasi, kata beberapa pemimpin Pemuda PKR (AMK).
Kata mereka ketika negara ini sangat bergantung kepada tenaga kerja asing – khususnya di sektor perladangan, pembuatan dan pembinaan – tindakan diambil Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob itu tidak bertanggungjawab.
Menganggap langkah kerajaan mewajarkan pengurangan subsidi dengan menjadikan warga asing sebagai alasan, mereka berkata, hakikatnya negara sangat bergantung kepada golongan terbabit dalam ekonomi.
“Kerajaan dan Ismail Sabri perlu berhenti menggunakan taktik mempermusuh rakyat Malaysia dengan pekerja asing bagi menyorokkan kegagalan Malaysia menangani masalah inflasi.
“Rakyat sudah mual dengan politik yang mengekploitasi kebencian,” kata mereka.
Ia dikeluarkan bersama oleh tiga pemimpin pemuda yang menawarkan diri sebagai calon Majlis Pimpinan AMK Pusat iaitu Lau Yi Yeong, Fakharuddin Muslim dan Suria Vengadesh.
Semalam Malaysiakini melaporkan Ismail Sabri sebagai berkata sebelum ini subsidi pelbagai barang di negara ini turut dinikmati warga asing termasuk Rohingya.
Apa kerajaan mahu
Justeru kata perdana menteri, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan subsidi berkenaan bagi membolehkan penjimatan yang dibuat dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Kalau kita bagi subsidi ayam, bukan rakyat Malaysia saja untung. Pekerja asing juga dapat… Rohingya pun beli ayam subsidi.
“Sebab itu kita bagi duit BKM (Bantuan Keluarga Malaysia), kita tak nak bagi warga asing dapat faedah subsidi.
“Kita ambil sikit (kurangkan) bagi terus pada rakyat (melalui BKM), dulu (subsidi ayam) RM1.40 sen kini RM1.20 sen,” kata Ismail Sabri di Pasir Salak.
Menurut pemimpin pemuda PKR itu berdasarkan kenyataan Persekutuan Pekilang Malaysia, setakat awal Dis tahun lalu sektor pembuatan – yang menyumbang 23 peratus ekonomi Malaysia – memerlukan 600,000 tenaga kerja untuk memastikan perniagaan mereka mencapai tahap seperti sebelum berlakunya pandemik Covid-19.
“Masalah kekurangan pekerja asing yang menjejaskan ekonomi negara turut diakui Menteri Sumber Manusia yang selanjutnya memberi jaminan bahawa kerajaan akan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
“Ironinya, kenyataan perdana menteri yang memangsakan golongan pekerja asing dibuat pada hari sama menteri sumber manusia memberi komitmen untuk menambah bilangan pekerja asing agar membantu pembangunan ekonomi negara kita.
“Maka persoalannya, apakah sebenarnya yang kerajaan mahu?” kata mereka.
Tambah mereka kewujudan pekerja asing dalam struktur ekonomi Malaysia bukanlah seluruhnya bersifat parasit.
Walaupun kebanyakan mereka tidak membayar cukai pendapatan – seperti sesetengah rakyat Malaysia juga – kata mereka, pekerja asing tetap membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sama macam seluruh rakyat negara ini.
Justeru, kata mereka, pekerja warga asing juga seharusnya diberi layanan saksama sekurang-kurangnya dari segi kos sara hidup harian supaya dapat mengekalkan kualiti kehidupan yang bermaruah sambil terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Jangan menghina kebijaksanaan rakyat.
“Rakyat yang bijak lebih rela membiarkan pekerja asing yang bersama-sama kita membangunkan ekonomi negara menikmati subsidi secara saksama berbanding membiarkan wang negara digunakan untuk menampung gaji dan elaun menteri-menteri yang gagal berfungsi,” katanya.