Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan melabelkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai dalang di sebalik ketidakstabilan politik negara yang menurutnya sengaja dicipta untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Wan Saiful yang sering mempertahankan presidennya Muhyiddin Yassin, juga mempersoalkan jasa dan faedah merekaterhadap negara, terutamanya ketika Muhyiddin sedang menyelesaikan masalah rakyat, sewaktu memegang jawatan sebagai perdana menteri.
“Ini jauh berbeza dengan Zahid dan Najib, yang menjadi punca bukan sahaja masalah rasuah dan kleptokrasi yang kita warisi di Malaysia, tetapi juga punca kepada krisis politik yang mereka sengaja cipta dengan mempergunakan jentera parti, semata-mata untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Saiful berkata, kedua-dua mereka sudah pasti menjadikan Muhyiddin sebagai sasaran kerana selagi dia dianggap sebagai negarawan oleh rakyat, selagi itulah hidup dua manusia ini tidak tenteram.
Dia seterusnya berkata topik mengenai Najib adalah untuk perbincangan lain dan menumpukan serangan ke atas Zahid.
“Jadi, apa sebenarnya faedah wujudnya manusia bernama Zahid dalam senario politik Malaysia hari ini?
“Yang paling jelas, Zahid lah dalang disebalik ketidakstabilan politik negara. Zahid dalang di sebalik 15 orang ahli parlimen Umno mengkhianati kerajaan sendiri. Zahid dalang di sebalik tekanan kepada Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“Zahid dalang yang pengecut menghadapi pemilihan parti sendiri. Zahid dalang yang akan terus berkomplot kerana terlalu desperate mahu menjadi perdana menteri,” katanya.
Wan Saiful turut membangkitkan isu perebutan kuasa di antara Zahid dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga adalah naib presiden Umno.
Dia turut menggesa supaya bekas timbalan perdana menteri itu bersara daripada politik, agar kestabilan dapat dikembalikan kepada negara.
“Ada sesiapa percaya bahawa Zahid tak akan rebut kuasa dari Ismail Sabri? Bodohlah sesiapa yang percaya Zahid betul-betul akan pertahan Ismail Sabri.
“Zahid dalang yang akan terus berusaha merosakkan kredibiliti Muhyiddin. Selagi rakyat melihat Muhyiddin sebagai negarawan, selagi itulah Zahid kekal sebagai bakal banduan,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook yang berasingan, Wan Saiful mempertahankan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), dengan menasihatkan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki untuk tidak mengikut jejak Zahid yang sering memburukkan imej bekas presiden Bersatu itu.
“Jawatan Pengerusi MPN tidak ada imbuhan yang diberikan. Nak potong apa lagi?
“Sebagai seorang yang ada latarbelakang agama, Asyraf Wajdi Dusuki wajar lebih berhati-hati supaya jangan terikut-ikut kegilaan Zahid memburukkan imej Muhyiddin.
“Jangan taat membuta sehingga akhlak pun hampir sama,” katanya.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kritikan Asyraf yang menggesa supaya elaun menteri, timbalan menteri, pengerusi MPN dan duta khas bertaraf menteri dipotong.