Beberapa daerah di Hanoi menggiatkan program vaksinasi berikutan peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa hari lalu dengan pengesanan subvarian Omicron BA.5.
Mulai 28 Jun hingga 4 Julai, ibu kota itu melaporkan 1,538 kes, meningkat 36.5 peratus berbanding minggu sebelumnya, Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan perbandaran, Vu Cao Cuong.
Beliau menjelaskan kenaikan itu disebabkan oleh kealpaan orang ramai, selain batasan dalam komunikasi.
Beberapa pesakit COVID-19 juga dijangkiti demam denggi, yang berada pada waktu kemuncaknya di Vietnam.
Sehingga 3 Julai, 99.9 peratus penduduk tempatan berumur lebih 18 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin COVID-19, 96.5 peratus menerima dos ketiga, dan 15.6 peratus diberikan dengan penggalak kedua (dos keempat).
Bagi kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun, hanya 20.07 peratus menerima dos pertama.
Pengarah Jabatan Kesihatan perbandaran Tran Thi Nhi Ha, berkata inokulasi untuk kanak-kanak memerlukan konsensus keluarga serta pembabitan secara drastik agensi dan orang ramai.
Lebih 234.28 juta vaksin COVID-19 diberikan di Vietnam setakat ini.
Kementerian Kesihatan meminta langkah lebih drastik untuk mengekang penularan demam denggi, memandangkan jumlah kes baharu yang dicatatkan tinggi baru-baru ini. – BERNAMA