Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka menuju ke arah pertikaian hari ini sama ada akan membenarkan penghantaran bantuan PBB dari Turkiye kepada kira-kira empat juta pelarian di barat laut Syria diteruskan selama enam bulan atau setahun.
Mandat PBB untuk operasi bantuan selama lapan tahun tamat Ahad ini. Selepas rundingan semalam yang menyaksikan pertelagahan Russia dengan Amerika Syarikat (AS) dan Britain, majlis 15 anggota itu bersetuju untuk kembali pada hari ini bagi meneruskan perbincangan lanjut.
Timbalan Duta Besar Russia ke PBB, Dmitry Polyanskiy memaklumkan, negaranya hanya mahu memperbaharui operasi bantuan selama enam bulan dan memerlukan majlis itu menerima pakai resolusi baharu dengan melanjutkannya selama enam bulan lagi.
“Enam bulan berakhir pada Januari, pada pertengahan musim sejuk, masa yang mungkin paling teruk,” kata Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield.
“Resolusi enam bulan tidak memberikan kepastian dan keyakinan yang diperlukan oleh pelarian Syria dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus merancang misi dan menyediakan sokongan,” kata Thomas-Greenfield, yang turut melawat sempadan Turkiye bulan lalu untuk menilai operasi bantuan.
Teks cubaan kompromi, yang dirangka Ireland dan Norway serta diedarkan semalam, akan memperbaharui operasi bantuan selama setahun dan memerlukan majlis anggota untuk menerima pakai resolusi baharu jika mandat itu akan ditamatkan selepas enam bulan.
Duta Besar Ireland ke PBB, Geraldine Byrne Nason memberitahu wartawan, beliau akan terus bekerja keras dan berharap perbincangan pagi ini akan menemui jalan penyelesaiannya.
Undian Majlis Keselamatan PBB mengenai operasi bantuan rentas sempadan sudah menjadi isu pertikaian sejak beberapa tahun lalu.
Pada 2014, Majlis Keselamatan PBB membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan yang dikuasai pembangkang di Syria dari Iraq, Jordan dan dua wilayah di Turkiye.
Bagaimanapun, kuasa veto Russia dan China sudah mengurangkannya kepada hanya satu titik sempadan di Turkiye.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres merayu kepada majlis bulan lalu untuk melanjutkan kelulusannya terhadap penghantaran bantuan dari Turkiye ke barat laut Syria, sambil memberitahu badan itu bahawa mereka tidak boleh berputus asa terhadap rakyat Syria. – REUTERS