Pegawai wilayah China perlu bersiap sedia berdepan risiko bencana dan memastikan bantuan dapat disalurkan tepat pada masanya, sebagai persiapan ketika musim banjir mencapai tempoh kritikal.
Peringatan itu susulan amaran seorang pegawai kerajaan hari ini, selepas hujan lebat berbulan-bulan di seluruh negara itu.
China kerap kali dilanda banjir teruk semasa musim panas dan beberapa wilayah di republik itu merekodkan hujan lebat tahun ini, sekali gus menandakan negara itu perlu cuba mengadaptasi perubahan iklim dengan suhu juga mencecah tahap tinggi.
Timbalan Menteri Pengurusan Kecemasan China, Zhou Xuewen, dalam satu taklimat berkata tempoh kritikal bermula pertengahan Julai, lantas menghendaki pegawai di semua peringkat memahami potensi risiko.
Beliau menyarankan mereka untuk menyediakan dana dan barang bantuan serta mengambil tindakan bagi meminimumkan kematian.
Ia termasuk mengambil iktibar terhadap risiko penularan COVID-19 sewaktu bencana besar.
Sejak musim banjir bermula pada Mac, purata hujan merentasi negara itu mencatatkan 10.7 peratus lebih tinggi daripada paras normal dan merekodkan dua kali ganda di beberapa bahagian di kawasan sebelah selatan.
Hujan di lembangan Sungai Mutiara di wilayah tenggara Guangdong merekodkan paras tertinggi.
Banjir menenggelamkan tanah pertanian, mengganggu bekalan elektrik dan komunikasi, menjejaskan jalan raya dan memusnahkan kediaman.
Keadaan itu sekali gus memaksa pasukan tindak balas kecemasan mengerahkan anggota ke seluruh negara untuk menguruskan bantuan.
Xuewen berkata, terdapat 487 sungai mencecah paras amaran banjir pada tahun ini.
Sementara lebih 1.2 juta orang dipindahkan dengan nilai kerugian ekonomi merekodkan hampir 65 juta yuan (RM42.9 juta) setakat ini.
China berusaha untuk meningkatkan keupayaan negara itu untuk menghadapi cuaca ekstrim termasuk berjanji menerusi pelan adaptasi iklim yang diterbitkan awal tahun ini, untuk membangunkan sistem pengurusan dan pencegahan risiko termaju sepanjang dekad akan datang.
Sementara itu, Pegawai Kementerian Sumber Asli China, Yu Haifeng dalam satu taklimat hari ini memaklumkan, negara menghadapi lebih banyak bencana geologi pada separuh pertama tahun ini berbanding tahun lalu.
Lebih banyak ‘cabaran yang teruk’ dialami pada separuh kedua tahun ini. – REUTERS