Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida kelu dengan apa yang berlaku terhadap bekas perdana menteri, Shinzo Abe yang maut dibunuh seorang penyerang hari ini.
Berikutan itu, Kishida berikrar Jepun tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang anasir keganasan.
“Saya berdoa semoga nyawa dapat diselamatkan tetapi saya saya difahamkan beliau meninggal dunia,” katanya kepada pemberita dalam nada pilu.
“Saya teramat kecewa. Saya kehilangan kata-kata. Saya ucap takziah dan doa supaya rohnya selamat,” katanya.
Abe adalah perdana menteri paling lama berkhidmat, mengundurkan diri daripada jawatan itu pada 2020 kerana masalah kesihatan.
Dalam kejadian yang berlaku hari ini, Abe maut selepas ditembak seorang penyerang ketika sedang berkempen di wilayah Nara.
“Dalam tempoh pilihan raya ini, berlaku satu tindakan keji dan biadab sehingga meragut nyawa bekas perdana menteri Abe.
“Tindakan ini tidak boleh dimaafkan. Kami mengutuk tindakan itu sekali lagi dengan sekeras-kerasnya,” tegas Kishida.
Sehubungan itu, Kishida yang juga ketua Parti Demokratik Liberal berkata, aktiviti pilihan raya akan diteruskan dengan langkah keselamatan menyeluruh.
“Kita semestinya mempertahankan pilihan raya bebas dan adil yang menjadi asas demokrasi. Kita akan meneruskan kempen pilihan raya esok seperti dirancang dengan keyakinan yang kukuh bahawa kami tidak akan tunduk kepada keganasan,” katanya.
Menurut Kishida, Abe memikul tanggungjawab berat sebagai perdana menteri selama lapan tahun lapan bulan, tempoh paling lama dalam sejarah moden.
“Beliau membimbing negara dalam menghadapi situasi domestik dan antarabangsa yang sukar melalui kepemimpinan serta kemampuan eksekutifnya,” katanya. – AFP