Shinzo Abe memecahkan rekod sebagai Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat, memperjuangkan pembaharuan ekonomi serta menjalin hubungan diplomatik yang lebih kukuh di sebalik skandal yang turut menghiasi karier politiknya.
Hampir dua tahun selepas beliau meninggalkan pejabat atas faktor kesihatannya, Abe, 67 dikhuatiri maut selepas beliau ditembak ketika sedang berkempen pagi tadi.
Abe menjadi Perdana Menteri Jepun pada 2006 ketika usianya 52 tahun, sekali gus menjadikan beliau pemimpin paling muda pernah memegang jawatan itu.
Beliau dilihat sebagai simbol perubahan dan belia, namun turut dianggap membawa salasilah ahli politik generasi ketiga yang dipersiap sejak lahirnya dari kalangan keluarga elit dan konservatif.
Penggal pertama Abe penuh konflik, dilanda pelbagai skandal serta perselisihan dan memaksa beliau meletakkan jawatannya secara tiba-tiba.
Biarpun pada mulanya mencadangkan supaya peletakan jawatannya itu dibuat atas alasan politik, namun beliau mengakui mengalami penyakit yang kemudiannya didiagnosis sebagai kolitis ulseratif.
Keadaan kesihatannya kemudian pulih dengan rawatan dan ubatan yang diambilnya, sebelum kembali ke pejabatnya sebagai Perdana Menteri Jepun pada 2012.
Abe juga berusaha untuk meningkatkan kadar kelahiran negara dengan menjadikan tempat kerja lebih mesra kepada ibu bapa, terutamanya ibu.
Beliau meneruskan kenaikan cukai penggunaan yang kontroversial untuk membantu membiayai taska dan menutup jurang dalam sistem keselamatan sosial Jepun yang terlalu ketat.
Biarpun terdapat sedikit kemajuan dengan pembaharuan dilaksanakan, masalah struktur ekonomi masih kekal, dengan ekonomi Jepun berada dalam kemelesetan sebelum COVID-19 melanda pada 2020.
Pengaruh Abe kian merosot ketika wabak COVID-19 melanda, dengan pendekatan diambil sering dikritik sebagai keliru dan perlahan, menyebabkan rating kelulusannya turun ke beberapa yang terendah dalam tempoh perkhidmatannya.
Di pentas antarabangsa, Abe mengambil tindakan keras terhadap Korea Utara, namun berperanan sebagai pendamai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Beliau mengutamakan hubungan peribadi rapat dengan bekas Presiden AS, Donald Trump dalam usaha melindungi perikatan utama Jepun serta cuba memperbaiki hubungan dengan Russia dan China. – AFP.