Polis berjaya menangkap seorang suspek, Tetsuya Yamagami yang didakwa melepaskan tembakan terhadap bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
Memetik laporan NHK, Abe, 67, kelihatan berlumuran darah lalu rebah tidak sedarkan diri selepas bunyi tembakan kedengaran di bandar Nara berhampiran Kyoto seperti menurut wartawan di tempat kejadian.
Dalam kejadian hari ini, Abe ketika itu sedang berucap dalam kempen pilihan raya.
Berdasarkan laporan, Abe ditembak sama ada di bahagian dada atau leher.
Lelaki yang ditahan polis itu dilaporkan adalah seorang penduduk bandar Nara. Beberapa imej menerusi media sosial menunjukkan seorang lelaki diberkas selepas melepaskan tembakan berdekatan Stesen Yamatosaidaiji.
Ketua Setiausaha Kabinet memaklumkan pihak polis ada merampas selaras senjata.
Suspek terbabit yang berusia 41 tahun dilaporkan memberitahu polis bahawa dia tidak gembira dengan Abe dan ada niat membunuh bekas perdana menteri itu, lapor NHK.
Memetik beberapa laporan media, Yamagami adalah bekas anggota Pasukan Pertahanan Diri Maritim yang juga dikenali sebagai Tentera Laut Jepun.
Dia meninggalkan kerjaya itu pada 2005. Senjata yang digunakan untuk menembak Abe dalam kejadian hari ini adalah senapang patah buat sendiri. – AGENSI