Barisan pimpinan Pemuda DAP yang baru sedang bersiap sedia untuk PRU ke-15 akan datang bagi menghadapi dua cabaran, iaitu kelesuan politik dan sikap tidak peduli dalam kalangan pengundi muda.
Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii mengakui bahawa kelesuan politik di kalangan anak muda disebabkan kekecewaan ekoran apa yang dianggap mereka sebagai jangkaan yang gagal dipenuhi oleh pentadbiran PH sebelum ini dan Perikatan Nasional (PN) sekarang.
Demografi pengundi muda ini dikaitkan dikaitkan dengan kemenangan PH dalam pilihan raya umum lalu.
Sikap tidak peduli kekal dalam kalangan anak muda yang menjauhi politik dan tidak melihat keperluan untuk terlibat dalam proses pilihan raya, kata Yii dalam wawancara bersama Malaysiakini.
“Ini adalah dua faktor utama yang kami kenal pasti, dan kami telah melihat trend yang jelas dalam PRN Sarawak, Johor dan Melaka,” tambahnya sambil merujuk kepada kekalahan yang dihadapi oleh DAP, PKR, serta Amanah.
Susulan itu, pimpinan baru Pemuda DAP sedang berusaha keras untuk meningkatkan penglibatan dengan pengundi muda menerusi media sosial dan secara bersemuka.
“Salah satu perkara yang kami lakukan ialah bekerjasama secara dekat di peringkat pemuda DAP untuk meningkatkan penglibatan seperti itu.
“Kami telah menganjurkan program di peringkat setempat, dialog, malah acara permainan, supaya kami boleh bercakap dan mendekati golongan muda, untuk menyebarkan mesej kami tentang bagaimana kami mahu menangani isu yang benar-benar memberi kesan kepada mereka,” kata Ahli Parlimen Bandar Kuching itu.
Menerusi pertemuan itu, pemuda DAP berjaya mengenal pasti isu utama yang merangkumi pekerjaan berkualiti, rumah mampu milik, akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan, serta kemerosotan alam sekitar.
Pemuda DAP telah membuat satu usaha untuk memberi cadangan berhubung pembaharuan dasar berkaitan dan bukannya hanya bersuara mengenai isu-isu ini.
“Itu salah satu fokus kami dan kami mempunyai biro dasar awam kami sendiri, di mana kami membincangkan dasar substantif untuk mencapai jalan penyelesaian.
“Di situlah kami berkomunikasi dengan orang muda untuk memberitahu mereka ‘kamu tahu, kami bukan berlawan dan berteriak saja, tetapi kami akan mencapai satu jalan penyelesaian dan memberi anda alternatif. Ini (DAP) adalah platform yang anda boleh menjadi sebahagian daripadanya’,” kata Yii.
Ketua Pemuda DAP yang baru dilantik itu menegaskan bahawa salah satu matlamat utamanya adalah untuk menangani kekecewaan di kalangan pengundi muda terhadap ahli politik yang sering dilihat terpalit dengan skandal.
Pilihan raya umum akan datang, yang dispekulasikan secara meluas akan diadakan menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan, akan menyaksikan penyertaan sejumlah besar pengundi kali pertama selepas penurunan umur minimum daripada 21 kepada 18 tahun dan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik.
Menurut Yii, usaha berterusan diadakan untuk mendekati lebih ramai anak muda dan meyakinkan mereka tentang kepentingan mengundi.
“Salah satu kempen yang kami sokong bersama-sama NGO, ialah kempen Undi 100. Ini adalah satu cara untuk cuba dan mendapatkan seberapa ramai pengundi muda untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang,” tambahnya.