Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan enggan mengulas lanjut berhubung spekulasi namanya dicadangkan sebagai menteri selepas tidak lagi memegang jawatan pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 17 Jun lalu.
“Next step (langkah seterusnya), tunggulah hingga next step itu sampai,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia, hari ini.
Sebelum ini, kedudukan Wan Saiful menjadi tanda tanya susulan semakan di laman web rasmi PTPTN sejak seminggu lalu mendapati, jawatan pengerusi yang disandangnya itu dikosongkan.
Wan Saiful adalah antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Zuraida Kamaruddin sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi selepas dia meninggalkan Bersatu.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berpandangan kedudukan ahli Parlimen Ampang itu sebagai menteri perlu diganti kerana jawatan menteri tersebut adalah kuota buat partinya.
Untuk rekod, Ismail Sabri dan Zuraida masing-masing dalam lawatan kerja ke Jepun dan Turki baru-baru ini.
Pada 26 Mei, Zuraida mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia.
Sementara itu, Bernama melaporkan Wan Saiful hari ini mengesahkan tidak lagi memegang jawatan pengerusi PTPTN.
Beliau berkata ia berikutan kontrak perkhidmatannya dengan perbadanan itu telah tamat pada 17 Jun lepas dan tidak diperbaharui.
“Setakat saya duduk di PTPTN selama empat tahun saya agak bangga dengan rekod yang diusahakan di PTPTN.
“Sebab kita fokus penyelesaian jangka panjang kepada masalah hutang anak muda dan penyelesaiannya ialah dengan menggalakkan penabungan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis ibadah korban di Kampung Machang, Tunjang di Jitra hari ini.
Beliau berkata ketika mengambil alih jawatan pengerusi PTPTN, kutipan deposit tahunan perbadanan itu adalah sekitar RM700 juta dan selepas empat tahun kutipan kini mencecah RM4 bilion setahun.
Menurutnya, jumlah itu menunjukkan hasil telah diusahakan PTPTN sepanjang tempoh itu selain pemberian moratorium pembayaran semula pinjaman yang membantu peminjam ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Wan Saiful yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dilantik sebagai pengerusi PTPTN berkuat kuasa 18 Jun 2018.