Seekor gajah jantan yang dipercayai merosakkan tanaman di Kampung Seri Ketengga dekat Baling berjaya ditangkap Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah semalam.
Pengarah Perhilitan Kedah Jamalul Nasir Ibrahim berkata haiwan dianggar berusia 10 hingga 12 tahun itu ditangkap kira-kira jam 10 pagi di kawasan kebun getah.
Ia kemudian ditambat pada pokok getah di situ sebelum akan dipindahkan ke kawasan selamat.
“Perhilitan Daerah Baling menerima aduan kira-kira jam 9 pagi pada 15 Julai lepas mengenai kemunculan seekor gajah yang merosakkan tanaman dan mendatangkan ketakutan kepada pekebun.
“Gajah jantan berkenaan berjaya ditangkap dan didapati berada dalam keadaan sihat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Jamalul Nasir berkata gajah dengan tapak kaki sebesar 25.4 sentimeter dan gadingnya sepanjang kira-kira 17.8 sentimeter itu sudah beberapa kali dilihat datang ke kawasan terbabit.
“Buat masa ini, Perhilitan masih belum memutuskan lokasi untuk memindahkan gajah tersebut.
“Pemantauan berterusan di lokasi tangkapan akan diteruskan sehingga operasi pemindahan selesai kelak dan gajah liar tersebut akan diberi makan batang pisang pada waktu pagi dan petang oleh Perhilitan,” katanya.
– Bernama