Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang percaya Malaysia akan mencapai kedudukan lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI sekiranya masih di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dalam satu kenyataan, Lim membidas pihak yang enggan menyalahkan Umno terhadap krisis yang melanda negara hari ini, sebaliknya meletakkan kesalahan itu terhadap PH.
“Pada masa ini terdapat kempen yang agresif untuk membuat rakyat Malaysia percaya bahawa kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan bertanggungjawab ke atas semua kesengsaraan dan krisis yang dihadapi negara.
“Sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan, Malaysia mencapai kedudukan dan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International terbaik dalam tempoh 25 tahun.
“Dan jika kerajaan Harapan tidak disabotaj dan digulingkan oleh konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020 dan dapat melaksanakan mandat lima tahunnya, Malaysia mungkin telah mencapai cita-citanya untuk menjadi antara 30 negara teratas di dunia bagi integriti awam dan paling kurang rasuah.
“Kini kita berada di kedudukan nombor 62 dan akan turun lebih rendah apabila TI CPI 2022 didedahkan pada Januari tahun depan,” kata Lim.
Menurut Lim keadaan ekonomi semakin merosot sejak kerajaan PH ditumbangkan.
“Kita bukan sahaja berdepan prospek untuk dipintas oleh Indonesia dalam pembangunan ekonomi, malah Malaysia turut dicerca oleh Duta Indonesia secara terbuka sebagai ‘memalukan’ kerana tidak mematuhi memorandum persefahaman (MoU) berhubung pembantu rumah warga Indonesia yang ditandatangani tiga bulan lalu .
“Adakah ini hasil 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan? Sudah tentu tidak, ia adalah kerja seorang perdana menteri Umno!” katanya.