Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba mengesahkan bahawa kementerian itu menerima permohonan syarikat pelombongan Australia, Lynas, untuk mengkaji semula syarat penting dalam lesen operasi mereka.
Syarat tersebut merupakan ketetapan ditetapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, iaitu memindahkan kemudahan operasi memproses sisa radioaktif larut resap – dikenali sebagai cracking and leaching yang menghasilkan sisa penulen lesap air (WLP) – ke luar Malaysia sebelum Julai 2023.
Katanya permohonan tersebut diterima melalui Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA).
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui LPTA menerima permohonan Lynas untuk mengkaji semula syarat lesen tersebut dan ia masih dalam proses penilaian dan akan diangkat untuk pertimbangan pihak lembaga selaras dengan peruntukan Seksyen 17 (1) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984,” katanya,” katanya dalam jawapan lisan Dewan Rakyat.
Tambah Adham, pada masa sama LPTA sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kepentingan pekerja, orang awam dan alam sekitar dititikberatkan dalam membuat keputusan berkenaan permohonan tersebut.
Adham berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong Wong Tack yang meminta kerajaan menyatakan sama ada Lynas telah memohon untuk mengekalkan fasiliti cracking and leaching mereka di Malaysia, serta status permohonan syarikat tersebut.
Pada 18 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Lynas dikatakan meminta kerajaan untuk mengetepikan syarat penting dalam lesen operasi untuk mereka yang akan tamat pada Mac 2023.
Perkembangan itu berlaku selepas sumber mendedahkan Lynas ada membuat permintaan mengenai syarat tersebut kepada Adham menjelang Aidilfitri lalu.
Lynas menyatakan syarat tersebut wajar diketepikan kerana Malaysia berdepan masalah kehilangan pekerja berkemahiran tinggi dan mengalami masalah ekonomi.