Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata parti itu tetap dengan perjuangannya seperti sebelum menjadi kerajaan, malah ia tidak boleh disamakan langsung dengan Amanah.
Menurut Idris ada pihak yang menganggap PAS kini sama saja seperti Amanah dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya kata tak sama. Mana boleh sama dengan dia (Amanah dan PH).
“Dia (Amanah) lain, dia tak berani bercakap langsung bab-bab agama, bab Islam ni, (tapi) kita (PAS) cakap.
“Soal tak boleh buat, (itu) soal lain. Tang bercakap kita bercakap; tang menentang, kita menentang; tang tak betul, kita cakap tak betul,” katanya seperti dipetik lidah rasmi PAS, harakahdaily, semasa berucap ujar Kedah.
Idris yang kini menggalas tugas sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri juga menjelaskan PAS melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin namun ia terhad kepada bidang kuasa yang ada.
Sebagai menteri hal-ehwal Islam, katanya, pada hakikatnya dia tidak memiliki punca kuasa kerana peruntukan berkaitan agama ada di jabatan agama Islam negeri-negeri.
Dalam keadaan begitu, katanya, dia menggunakan kedudukan sebagai menteri untuk berhubung dengan negeri-negeri bagi mengambil tindakan terhadap sesuatu isu sebagaimana ajaran sesat dan penghinaan agama baru-baru ini.
“Kalau melibatkan media sosial, maka saya akan hubungi pihak Suruhanjaya Komunikasi (dan Multimedia Malaysia) yang diketuai oleh Menterinya Tan Sri Annuar Musa.
“Yang berlaku pelik-pelik berkenaan penghinaan agama sebagainya, maka saya hubungi Menteri Dalam Negeri.
“Dengan sebab itu tuan-tuan tengok pantas kali ini. Pagi kita report tengah hari pi angkat (ditahan penguat kuasa) dah. Kerana apabila kita ada di dalam kerajaan ini memang suara kita ini agak laku sikitlah,” katanya.