Dr Mahathir Mohamad berpendapat Najib Razak perlu mengkaji terlebih dahulu keputusan untuk menghentikan bayaran terhadap waris keturunan kesultanan Sulu pada 2013 ketika menyandang jawatan perdana menteri.
Menurut Mahathir, walaupun ketika itu dia dilihat menyokong keputusan berkenaan, namun ia dibuat berdasarkan kepada kedudukan ahli parlimen Pekan terbabit sebagai pemimpin kerajaan.
Menurut Mahathir, apabila ada sesuatu janji dibuat, ia mestilah ditunaikan lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan isu yang kurang jelas termasuk serangan ke atas Lahad Datu sebelum ini.
“Kita yang berjanji untuk bayar setiap tahun jumlah ini, jadi apabila kita berjanji, kita kena tunaikan janji walaupun atas sebab serangan.
“Tetapi kita juga tak tahu serangan itu oleh keturunan Sultan Sulu atau orang lain.
“Jadi kita kena kaji dulu dan selepas itu sahkan yang menyerang itu adalah kesultanan Sulu. Barulah kita boleh berhenti (bayar).
“Tapi ini tidak ada kajian, terus henti (bayar) saja,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Punca masalah sekarang
Pengerusi Pejuang yang juga bekas perdana menteri itu berkata disebabkan tindakan Najib sebelum ini, waris kesultanan Sulu secara berterusan menuntut Sabah di mahkamah timbang tara antarabangsa.
“Saya dengar pada masa itu Najib buat kenyataan dia tidak akan bayar (bayaran penyerahan wilayah). Pada masa itu, saya cuma sokong dia saja. Dia yang buat keputusan.
“Tapi, saya diberitahu keputusan itu tidak dirujuk kepada kabinet dan Dewan Rakyat (pada 2013) dan dia (seolah-oleh) buat keputusan sendiri,” katanya selepas menjadi panel Wacana Hala Tuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian di Kuala Lumpur semalam.
Pewaris sultan Sulu yang terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menggunakan proses undang-undang antarabangsa dalam usaha menuntut bayaran pajakan tertunggak AS$14.92 bilion untuk Sabah.
Proses timbang tara dimulakan sebagai tindak balas kepada Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.
“Itu yang menyebabkan masalah kita hadapi sekarang. Sebelum ini tidak ada masalah. Tiap-tiap tahun kita bayar.
“Apabila berhenti, maka mereka bawa kes ke mahkamah Sepanyol, tapi kita tidak iktiraf mahkamah di Sepanyol sebab dalam membuat hukuman (tuntutan), kedua-dua pihak mesti memberi pendapat dalam mempertahankan kedudukan mereka.
“Tapi ini dibuat keputusan sebelah saja. Jadi itu kita tak pernah bagi kuasa kepada mahkamah Sepanyol,” kata Mahathir yang juga ahli parlimen Langkawi.